Skip to main content

UMP kenang jasa dan sumbangan khidmat bakti pesara

PAYA BESAR, 30 Disember 2021 - Universiti Malaysia Pahang (UMP) menganjurkan Majlis Jasa Dikenang bagi meraikan dan menghargai jasa pesara sepanjang berkhidmat di universiti.  
 
Banyak jasa khidmat bakti dan kenangan pahit manis mereka terutamanya dalam menyumbang buah fikiran dan tenaga dalam memastikan UMP terus maju ke hadapan dan berjaya sepanjang 20 tahun penubuhan.  
Sebagai penjawat awam yang sedang berkhidmat, walaupun sedalam mana rasa cinta pada profesion kita harus akur dengan satu hakikat persaraan merupakan suatu proses yang perlu dilalui apabila tiba masanya sama ada pendek ataupun panjang tempohnya.
 
Menurut Profesor Dato’ Dr. Yusserie Zainuddin yang menjalankan fungsi Naib Canselor, perpisahan dalam perkhidmatan bukanlah penamat untuk terus berbakti dan menabur jasa kepada agama dan bangsa.  

"Terima kasih kepada semua yang telah menyumbang bakti dan buah fikiran sepanjang berkhidmat di UMP dalam memastikan universiti ini sentiasa terkehadapan.
 
"Pihak pengurusan universiti akan sentiasa komited dan memberi perhatian terhadap pelbagai aspek pascaperkhidmatan khususnya berkaitan kebajikan para pesara UMP,”  ujarnya dalam Majlis Jasa Dikenang 2021 anjuran Jabatan Pendaftar baru-baru ini.  
 
Beliau mendoakan agar mudah-mudahan kehidupan semua pesara sentiasa berada dalam kebahagiaan, kesejahteraan dan kelapangan dengan kesihatan yang berpanjangan.
 
Profesor Dato’ Dr. Yusserie hadir menyampaikan inisiatif Kad Korporat Alumni UMP yang juga merupakan manifestasi penghargaan universiti ini terhadap kesetiaan dan komitmen para pesaranya sepanjang perkhidmatan mereka. 

Turut sama hadir Ketua Pegawai Operasi/Pendaftar UMP, Hazmin Aris.
 
Kad khas itu boleh digunakan untuk pesara mendapatkan perkhidmatan dan kemudahan yang ditawarkan di Pusat Kesihatan Universiti, Perpustakaan, Pusat Sukan dan Kebudayaan dan lain-lain.
 
Sembilan pesara UMP yang dirai adalah Dzull Zabarrod Ahmad, Azhari Ghazali, Datin Ir. Ts. Zailani Mohd. Ali, Datin Wan Maizurina Wan Othman, Abd. Hamid Majid, Haji Wan Abdul Rashid Wan Abdul Rahman, Profesor Dr. Shamsuddin Baharin, Hajjah Siti Fatimah Haji Ahmad Zabidi dan Nothamizah Mohd. Hassan. 

Pada masa yang sama, majlis turut berkongsi rasa dukacita buat ahli keluarga dan waris lima warga kerja UMP yang telah kembali ke rahmatullah pada tahun ini iaitu Allahyarham Profesor Madya Ts. Dr. Zakri Ghazalli, Allahyarham Ahmad Zainuddin Mohamed, Allahyarham Hasahudin Hassan, Allahyarham Mohd Azemi Yunus dan Allahyarham Ustaz Amidi  Osman. 

Semoga roh mereka dicucuri rahmat oleh Allah SWT dan ditempatkan-Nya dalam kalangan para syuhada.

Disediakan oleh: Nor Salwana Mohd. Idris, Unit Komunikasi Korporat, Pejabat Naib Canselor (PNC) 

TAGS / KEYWORDS
Reports by:
Nor Salwana bt Hj Mohammad Idris