Skip to main content

UMP lancar Kempen Keselamatan Jalan Raya ‘Jom Pulang ke Kampung’

PAYA BESAR, 14 April 2023 - Universiti Malaysia Pahang (UMP) melancarkan Kempen Keselamatan Jalan Raya ‘Jom Pulang Ke Kampung’ dengan memberi kemudahan buat pelajar yang pulang  ke kampung dengan berkenderaan sendiri menerima petrol secara  percuma. 

Dalam program itu, seramai 880 pelajar UMP menerima e-kupon petrol hasil kerjasama Petronas KM26 Jalan Gambang dan Petronas Peramu 2, Pekan sebelum pelajar bercuti panjang pulang berhari raya.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Profesor Ts. Dr. Mohd Rusllim Mohamed yang menjalankan fungsi Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa)  hadir melancarkan program dengan menyertai peserta berkonvoi bermotor dari UMP Kampus Gambang menuju ke Petronas KM26 Jalan Gambang.

Turut berlangsung taklimat keselamatan jalan raya yang disampaikan  Pengarah Bahagian Keselamatan, Mohd Nazri Samsudin melibatkan seramai 170 orang pelajar dengan  50 buah motorsikal dan 30 buah kereta. 

Hadir sama Pengurus Besar JHEPA , Haryani Abdullah dan Pengarah Perkhidmatan Pelajar UMP, Mohd Raizalhilmy Mohd Rais.

UMP lancar Kempen Keselamatan Jalan Raya ‘Jom Pulang ke Kampung’

Menurut Profesor Ts. Dr. Mohd Rusllim, program ini sebagai menyokong Kempen Keselamatan Jalan Raya dan Kempen Berkongsi Kereta yang merupakan inisiatif UMP untuk meningkatkan kesedaran dan mempromosikan keselamatan jalan raya kepada pelajar UMP yang akan pulang ke kampung sempena menyambut Hari Raya Aidilfitri.

“Paling penting kempen ini menggalakkan pelajar berkongsi kereta (ridesharing) bagi laluan perjalanan dan waktu yang sama sewaktu pulang berhari raya agar mereka sama-sama berperanan mengelakkan kesesakan trafik dan dapat mengurangkan jejak karbon.

“Selain itu, langkah yang efektif ini dapat  memberi pengetahuan kepada pelajar  UMP tentang kepentingan keselamatan jalan raya sepanjang perjalanan pulang ke kampung bagi meningkatkan kepatuhan pelajar terhadap peraturan jalan raya,” ujarnya. 

Dalam pada itu, e-kupon petrol ini merupakan kemudahan UMP Kasih iaitu asalnya Kupon Makan untuk pelajar yang kesempitan menggunakan aplikasi Adab@UMP bagi membolehkan mereka mendapatkan makanan secara percuma bagi yang layak di kafeteria kampus. 

Kini, inisiatif UMP Kasih ini ditambah baik dengan pelbagai manfaat lain dan diperluaskan kegunaannya dengan melibatkan rakan kerjasama di luar kampus untuk manfaat pelajar UMP.

Disediakan oleh: Mimi Rabita Haji Abdul Wahit, Bahagian Komunikasi Korporat, Jabatan Canseleri 

Reports by:
Mimi Rabita binti Abd Wahit