Skip to main content

UMP melonjak di kedudukan ke-129 universiti terbaik Asia

PEKAN, 2 November 2021 - Universiti Malaysia Pahang (UMP) melonjak ke tangga ke-129 berbanding 133 tahun lalu dalam QS World University Rankings: Asia yang diumumkan oleh agensi penarafan antarabangsa QS Quacquarelli Symonds bagi tahun 2022.

Penilaian yang dilaksanakan ke atas 687 institusi dari seluruh Asia dengan 40 penyertaan baharu itu mengambil kira 11 kriteria antaranya, reputasi akademik, reputasi majikan, nisbah staf akademik dan pelajar, jumlah sitasi bagi penerbitan, jumlah penerbitan saintifik per staf akademik dan staf akademik berkelayakan.
 
Lain-lain adalah jaringan penyelidikan antarabangsa, staf akademik antarabangsa, pelajar antarabangsa, pertukaran pelajar ke luar negara dan pertukaran pelajar antarabangsa ke dalam negara.

Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrie Zainuddin yang menjalankan fungsi Naib Canselor UMP mengucapkan tahniah buat warga UMP atas pencapaian ini.

“Kejayaan ini meletakkan UMP sebagai universiti terbaik dalam kalangan Rangkaian Universiti Teknikal Malaysia (MTUN). 

“UMP akan terus memperkukuhkan lagi usaha dalam memajukan dan mengembangkan pendidikan tinggi dengan memberi tumpuan terhadap bidang pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) aras tinggi.

“UMP juga akan sentiasa memperkukuh peranannya sebagai universiti teknologi dalam MTUN yang dapat menyumbang kepada pembangunan masyarakat dan negara,” katanya.

Pada masa yang sama, beliau juga berkongsi kejayaan apabila UMP turut tersenarai The Best Global Universities Rankings dalam U.S. News & World Report baru-baru ini yang mengukur prestasi penyelidikan akademik institusi berdasarkan 13 petunjuk termasuk reputasi global dan serantau.

Berdasarkan laporan itu, UMP berada di kedudukan 1,058 terbaik dunia, 258 terbaik Asia dan sembilan terbaik antara IPT di Malaysia. 

Manakala subjek Energy and Fuels berada di kedudukan 173 terbaik dunia, subjek Kejuruteraan di kedudukan 343  dan  subjek Kimia pula di kedudukan 734 terbaik dunia.

Begitu juga kejayaan pensyarah UMP apabila data daripada Stanford University yang berpangkalan di Amerika Syarikat baru-baru ini turut mengumumkan seramai 12 pensyarah UMP tersenarai antara dua peratus saintis terbaik di dunia dalam pelbagai bidang dan disiplin Kejuruteraan, Sains dan Teknologi.

Pengiktirafan ini akan menggalakkan interaksi antara penyelidik tempatan dan antarabangsa serta industri bagi meneruskan kecemerlangan akademik selain mencipta peluang penyelidikan bagi memasyarakatkan teknologi.
  
Pelbagai usaha sedang dibangunkan bagi memfokuskan terhadap peningkatan keupayaan teknikal negara antaranya ialah melalui penawaran program akademik yang dipacu oleh industri bagi melahirkan graduan yang holistik.

Dalam pada itu, perancangan Pelan Strategik UMP 2021-2025 kini bakal meletakkan UMP untuk terus mencapai kegemilangan dengan enam objektif strategik iaitu Keunggulan TVET aras tinggi, inovasi dengan kolaborasi industri, pemerkasaan teknologi berimpak tinggi, kelestarian kewangan, kecemerlangan ekosistem universiti dan keusahawanan graduan.

Maklumat Penarafan Universiti Dunia QS: Asia edisi 2022 yang diterbitkan oleh Quacquarelli Symonds sebagai penganalisis pendidikan tinggi global boleh diakses melalui topuniversities.com.

Disediakan oleh: Mimi Rabita Abdul Wahit, Unit Komunikasi Korporat,  Pejabat Naib Canselor (PNC)

TAGS / KEYWORDS
Reports by:
Mimi Rabita binti Abd Wahit