Skip to main content

UMP, POLISAS jalin kolaborasi strategik perkongsian PdP, penyelidikan, penerbitan dan perkhidmatan

KUANTAN, 24 Ogos 2021 – Universiti Malaysia Pahang (UMP) dengan Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah (POLISAS), Kuantan baru-baru ini menjalinkan kolaborasi strategik dalam perkongsian perkhidmatan kepakaran dan ilmu kepada pelajar dan pensyarah untuk aktiviti pengajaran dan pembelajaran (PdP) serta penyelidikan.

Pengarah POLISAS, Hajah Norehan Silek merakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih kepada rakan-rakan industri seperti Malaysia Institute of Transport Universiti Teknologi MARA (UiTM), Auditask (M) Sdn. Bhd., Kolej Teknologi Kejuruteraan, UMP, Penerbit UMP dan Jabatan Mufti Negeri Pahang kerana sudi menjalinkan kolaborasi dengan POLISAS. 

“POLISAS telah mengadakan hubungan kolaborasi dan rangkaian strategik dengan 89 industri, komuniti, agensi kerajaan, Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) dan agensi lain bagi menyokong aktiviti PdP. 

“Saya bagi pihak POLISAS amat mengharapkan hubungan kolaborasi ini akan dapat memberi manfaat kepada kedua-dua pihak melalui perkongsian amalan terbaik PdP, pemberian latihan profesional, pertukaran staf dan pelajar, perkongsian ilmu teknologi serta program sangkutan industri untuk staf dan pelajar.

“Dengan terjalinnya kerjasama ini, kedua-dua pihak akan mendapat pendedahan tentang pelbagai ilmu khususnya perkembangan teknologi terkini yang digunakan,” katanya. 

Tambah Hajah Norehan lagi, ia juga dapat membuka lebih banyak ruang dan peluang dalam melahirkan pelajar lepasan TVET yang berdaya saing, membangunkan modal insan yang holistik dan berkualiti tinggi seterusnya membekalkan tenaga kerja yang lebih relevan dan memenuhi kehendak industri pada masa kini. 

“Semoga dengan termeterinya kolaborasi ini, maka banyak program dan aktiviti yang akan dapat kita laksanakan bersama sejajar dengan hasrat negara Malaysia yang ingin mewujudkan ekosistem pendidikan negara yang terbaik dalam melahirkan modal insan berpengetahuan, berkemahiran, berketerampilan, beretika dan berakhlak mulia,” ujarnya. 

Turut hadir Mufti Negeri Pahang, Sahibus Samahah Dato’ Sri Dr. Haji Abdul Rahman Haji Osman, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), UMP, Profesor Ts. Dr. Mohd. Rosli Hainin, Dekan Kanan, Kolej Teknologi Kejuruteraan UMP, Profesor Dr. Abdullah Ibrahim, Timbalan Pengarah (Penyelidikan, Pendidikan dan Kualiti), Malaysia Institute of Transport UiTM, Profesor Madya Dr. Adibah Shuib, Pengarah Penerbit UMP, Muhammad Azli Shukri dan Perunding Utama, Auditask (M) Sdn. Bhd., Mohammad Zakuan Bidain,

Menurut Profesor Dr. Abdullah, kolaborasi strategik antara POLISAS dengan UMP yang dimeterai ini diharapkan dapat menterjemahkan kepada pelaksanaan aktiviti akademik mahupun bukan akademik yang bersifat menang-menang terutama dalam hal-hal pengajaran dan pembelajaran, penyelidikan, penerbitan dan perkhidmatan untuk masyarakat setempat. 

“Saya percaya sebelum ini pun UMP dan POLISAS telah saling bekerjasama, namun menerusi kolaborasi strategik yang kita tandatangani pada hari ini ia dapat memperkasakan lagi hubungan kerjasama terutama dalam menampung kekurangan sesuatu pihak, misalnya dalam perkongsian kepakaran dan peralatan demi mencapai matlamat yang dirancang oleh kedua-kedua belah pihak.

“POLISAS dan UMP ini ibarat ‘vehicle’ yang berbeza tetapi menuju ke destinasi yang sama iaitu ke arah kecemerlangan akademik pelajar dan institusi di samping kita sama-sama mendokong wawasan negara dalam memperkasakan program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET). 

“Dalam usaha ini, POLISAS dan UMP boleh sama-sama bersinergi dalam memperkasakan program masing-masing dan di sinilah kolaborasi strategik kita memainkan peranan sambil mendapatkan sokongan daripada rakan-rakan kongsi kita yang lain sama ada daripada pihak POLISAS mahupun UMP sendiri,” ujarnya. 

Tambah beliau lagi, UMP membuka peluang seluas-luasnya kepada pelajar-pelajar lulusan diploma POLISAS untuk melanjutkan pengajian ke peringkat ijazah sarjana muda melalui program-program yang berkaitan terutama bidang Teknologi Kejuruteraan. 

“Peluang kedua juga dibuka iaitu pada pengambilan bulan Februari sekiranya pelajar-pelajar terlepas peluang untuk ambilan melalui UPU.

“UMP diklusterkan sebagai universiti berfokus bersama dengan tiga buah lagi universiti iaitu Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Universiti Tun Husin Onn Malaysia (UTHM) dan Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) yang mana ke empat-empat buah universiti ini dipanggil Rangkaian Universiti Teknikal Malaysia (MTUN). 

“MTUN bersama-sama menyokong dalam kesinambungan program TVET ke aras yang lebih tinggi atau kita sebut sebagai higher tvet (di mana mengikut kerangka kelayakan Malaysia tahap 6, 7 dan 8),” ujarnya. 

Jelas beliau lagi, Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) pula merupakan jentera penggerak program TVET di bawah Kementerian Pengajian Tinggi (KPT). 

“Kerjasama ini juga turut merangkumi perkongsian peralatan makmal dan bengkel untuk pengajaran dan pembelajaran (PdP), promosi Program Sarjana Muda, Sarjana dan Doktor Falsafah serta menjadi ahli Panel Penasihat Industri bagi program yang berkaitan.

“Kerjasama dalam bidang penerbitan pula melibatkan perkongsian ilmu penerbitan, buku, jurnal, penulisan ilmiah, memberi khidmat nasihat berkaitan penerbitan dan perkongsian sumber maklumat untuk kegunaan pelajar dan pensyarah. 

Majlis Penyerahan Dokumen Kolaborasi di antara POLISAS Kuantan dengan industri-industri itu dibuat secara dalam talian menerusi platform Webex berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di negara ini bagi membendung pandemik Covid-19 yang menular di Malaysia pada masa kini. 

Disediakan oleh: Safriza Bt Baharuddin, Penerbit UMP
 

Reports by:
Safriza binti Baharuddin