Skip to main content

UMP rai petugas Majlis Konvokesyen 2022

GAMBANG, 23 Mac 2023 - Pandemik COVID-19 yang melanda dunia pada awal tahun 2020 cukup memberi kesan terhadap pendidikan tinggi negara.

Penganjuran tiga Majlis Konvokesyen (MKK), Universiti Malaysia Pahang (UMP) pada tahun 2022 berikutan pandemik bermula tahun 2020 mencatat sejarah apabila seramai 12,124 orang graduan UMP dirai dalam tempoh setahun lanjutan daripada tiada majlis konvokesyen dilaksanakan pada tahun 2020 dan 2021.

Pada ketika itu, graduan bagi tahun 2020 dan 2021 hanya menerima Dokumen Penganugerahan secara permohonan pos.

Namun pada tahun 2022, UMP meraikan seramai 3,556 orang graduan 2020 pada 17 hingga 20 Mac 2022 dengan pematuhan SOP dalam MKK15 yang diadakan di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah, Kuantan.

Bagi MKK16, UMP meraikan seramai 4,034 orang graduan tahun 2021 pada 6 hingga 9 Ogos 2022 di Kompleks Sukan UMP Gambang.
 

UMP rai petugas Majlis Konvokesyen 2022

Manakala bagi MKK17, UMP meraikan seramai 4,534 orang graduan tahun 2022 yang telah diadakan pada 5 hingga 8 November 2022 di Dewan Kompleks Sukan UMP Gambang.

Menurut Naib Canselor UMP, Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrie Zainuddin, pelbagai faktor diambil kira dan keputusan tersebut diperhalusi oleh jawatankuasa induk dan pelaksana bagi memastikan keselamatan serta kesihatan warga universiti.

“Pihak pengurusan amat menghargai barisan hadapan, para petugas dan ahli jawatankuasa yang terdiri daripada 644 orang yang mewakili 23 jawatankuasa serta Sekretariat Majlis Konvokesyen UMP yang bertungkus-lumus memastikan majlis berjalan lancar.

“Pihak universiti amat berbangga dengan komitmen para petugas dalam memastikan segala yang dirancang dilaksanakan dengan baik serta mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan,” ujarnya.

Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrie hadir bagi merasmikan Majlis Apresiasi Petugas Konvokesyen dalam majlis yang berlangsung di Dewan Astaka UMP Kampus Gambang.

Hadir sama Pendaftar, Saiful Bahri Ahmad Bakarim dan Pengarah Pusat Pengurusan Akademik, Profesor Madya Ts. Dr. Mohd Shahrir Mohd Sani dan barisan pengurusan serta pegawai universiti.

 


Disediakan oleh: Mimi Rabita Abdul Wahit, Bahagian Komunikasi Korporat, Jabatan Canseleri 

TAGS / KEYWORDS
Reports by:
Mimi Rabita binti Abd Wahit