Skip to main content

UMP rai staf cemerlang dalam Majlis Hari Kualiti dan Inovasi 2023

PEKAN, 21 Mac 2023 - Seramai 149 orang staf Universiti Malaysia Pahang (UMP) telah menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) dan meraih anugerah dalam pelbagai bidang dirai sempena Majlis Hari Kualiti dan Inovasi UMP 2023 baru-baru ini.

Majlis diadakan sebagai tanda penghargaan dan pengiktirafan kepada warga UMP yang membuktikan tahap pencapaian yang cemerlang melalui pembudayaan kualiti serta inovasi sebagai penggerak utama ke arah kecemerlangan organisasi.

Majlis dirasmikan oleh Ahli Lembaga Pengarah UMP, Dato’ Hajah Habibah Mohd Yusof yang turut dihadiri Ahli Lembaga Pengarah UMP, Madyasir Ahmad Basir, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Profesor Ts. Dr. Kamal Zuhairi Zamli, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) yang menjalankan fungsi Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Profesor Ts. Dr. Mohd Rusllim Mohamed, Pendaftar UMP/Ketua Pegawai Operasi, Saiful Bahri Ahmad Bakarim dan pengurusan UMP.

Dato’ Hajah Habibah menzahirkan ucapan tahniah kepada semua yang mencapai kejayaan pada hari ini.

“Semoga pencapaian ini menjadi perangsang kepada semua warga UMP untuk berusaha dengan lebih gigih dalam memenuhi tugas yang diamanahkan.

“Pengiktirafan yang diberikan kepada staf secara asasnya amat penting kerana warga kerja yang berkualiti merupakan aset utama dalam mengekalkan prestasi perkhidmatan yang cemerlang dan memenuhi harapan pelanggan sama ada di dalam atau luar UMP.

“Kini, UMP dalam fasa memperkasakan kualiti di semua peringkat untuk melonjakkan jenama universiti melalui penerokaan bidang-bidang kritikal sejajar dengan bidang tujahan,” katanya.

Program yang bertemakan ‘Kelestarian Kualiti ke Arah Kebitaraan Universiti’ itu turut menyampaikan Anugerah Penulisan Rencana Terbaik, Anugerah Kecemerlangan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (AKKKP), Anugerah Ekosistem Kondusif Sektor Awam (EKSA), Anugerah Sukan, Anugerah Personaliti Masyarakat, Anugerah Kecemerlangan Industri dan Masyarakat (AKIM) dan Anugerah Khas: World’s Top 2% Scientist.

Disediakan oleh: Nor Salwana Mohammad Idris, Bahagian Komunikasi Korporat, Jabatan Canseleri. 

Reports by:
Nor Salwana bt Hj Mohammad Idris