Skip to main content
UMP tangguh pengajian seminggu mulai 22 Disember 2021

UMP tangguh operasi akademik seminggu mulai 22 Disember 2021

PEKAN, 22 Disember 2021 - Dengan mengambil kira situasi terkini dan setelah menilai setiap aspek, pengurusan universiti bersetuju untuk menangguhkan kesemua aktiviti akademik di Universiti Malaysia Pahang (UMP) berkuat kuasa mulai 22 hingga 28 Disember 2021.

Penangguhan ini merangkumi pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran (PdP), aktiviti makmal, kuiz, penaksiran, penghantaran tugasan dan aktiviti akademik yang lain. 

Menurut Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Profesor Ts. Dr. Mohd Rosli Hainin, penangguhan ini adalah bagi memberi ruang kepada pelajar dan staf yang terlibat dengan bencana banjir untuk tempoh bertenang bagi menyelesaikan isu-isu dan keperluan diri serta keluarga masing-masing.

“Susulan daripada penangguhan aktiviti akademik yang telah diberikan, pengurusan universiti juga telah bersetuju memendekkan Cuti Ulang Kaji daripada dua minggu (22 Januari sehingga 6 Februari 2022) kepada satu minggu (29 Januari sehingga 6 Februari 2022). 

“Tarikh bagi peperiksaan akhir semester adalah tidak berubah seperti mana dalam Kalendar Akademik Semester 1, Sesi 2021/2022.

“Dalam pada itu, bagi pelajar pascasiswazah yang menjalankan penyelidikan di makmal dan pelajar prasiswazah yang mengambil Projek Tahun Akhir (FYP) yang tidak terkesan dengan bencana banjir, mereka boleh meneruskan aktiviti penyelidikan atau projek dengan menghubungi Kolej/Fakulti/Pusat masing-masing. 

“Bersama-sama kita mendoakan agar semua pensyarah, pelajar dan warga universiti seluruhnya yang terbabit dengan bencana banjir ini dipermudahkan segala urusan, diberikan kekuatan untuk menghadapi ujian serta dilindungi daripada sebarang musibah," katanya.

Berdasarkan rekod daripada Bilik Gerakan Bencana Banjir UMP sehingga hari ini mendapati  seramai 225 staf dan 348 pelajar terjejas akibat bencana luar biasa pada kali ini. 

Disediakan Oleh: Mimi Rabita Abdul Wahit,  Unit Komunikasi Korporat, Pejabat Naib Canselor (PNC) 

Reports by:
Mimi Rabita binti Abd Wahit