Skip to main content

UMP tersenarai di kedudukan 301-400 THE Impact Rankings

PEKAN, 28 April 2022 - Universiti Malaysia Pahang (UMP) tersenarai di kedudukan 301-400 dan ke-8 di Malaysia dalam penarafan kelestarian global Time Higher Education (THE Global Impact Ranking) 2022 yang diumum pada 27 April 2022.

Berbeza dengan penarafan dunia yang lain, THE Impact Rankings memberi tumpuan terhadap 17 Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) dalam usaha menyemai keharmonian dan kemakmuran alam serta masyarakat sejagat.

Menurut Naib Canselor UMP, Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrie Zainuddin, tahun ini merupakan penyertaan UMP buat pertama kali.

“Pada edisi kali ini, UMP menyertai sebanyak lima matlamat iaitu SDG 4, 6, 7, 9 dan 17 dan UMP tersenarai di dalam kesemua SDG tersebut.

“UMP berada pada kedudukan 301-400 bagi SDG4 Quality Education dan bagi SDG6 Clean Water and Sanitation, UMP berada di kedudukan 101-200.

“UMP juga turut cemerlang dalam SDG7 Affordable and Clean Energy apabila berada pada kedudukan 67 dan ini menunjukkan peranan UMP dalam kecekapan tenaga, tenaga boleh diperbaharui serta peranannya dalam komuniti,” ujarnya.

Tambah beliau lagi, bagi SDG9 Industry, Innovation and Infrastructure pula, UMP berada di tangga 401-600.

“Manakala bagi SDG17 Partnership for the Goals, UMP berada di kedudukan 101-200 yang menunjukkan hubungan baik universiti dengan pelbagai pihak dan peringkat termasuk komuniti dan industri.

“Ia turut melibatkan pembudayaan kelestarian dalam kalangan warga universiti,” katanya. 

Pengerusi Lembaga Pengarah UMP, Tan Sri Dato’ Sri Dr. Abdul Aziz Abdul Rahman turut menzahirkan kesyukuran dan berbangga dengan pencapaian ini.

“Ini merupakan pengiktirafan buat UMP yang sentiasa memfokuskan usaha kelestarian sebagai agenda utama dalam meningkatkan kualiti hidup masyarakat sejagat di negara ini,” katanya. 

Matlamat utama The Impact Rankings adalah untuk mengenal pasti impak universiti terhadap masyarakat berdasarkan kejayaan sesebuah institusi dalam menyampaikan 17 Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) yang digariskan oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB). 

PBB telah menggariskan 17 SDG ini untuk mencapai masa depan yang lebih baik dan mampan untuk semua menjelang tahun 2030.

Disediakan oleh: Mimi Rabita Abdul Wahit, Bahagian Komunikasi Korpor, Pejabat Naib Canselor (PNC)
 

TAGS / KEYWORDS
Reports by:
Mimi Rabita binti Abd Wahit