Skip to main content

UMP tersenarai kedudukan 751-800 terbaik dunia

Pekan, 10 Jun 2020 - Universiti Malaysia Pahang (UMP) mengekalkan kedudukannya dengan berada di dalam kelompok 751-800 terbaik dunia selepas tersenarai dalam penilaian QS World University Rankings (QS-WUR) 2021 yang diumumkan oleh agensi penarafan antarabangsa QS Quacquarelli Symonds baru-baru ini.

Penilaian Penarafan QS-WUR edisi 2021 dibuat ke atas 1,604 institusi dari seluruh dunia itu adalah berdasarkan kepada enam petunjuk utama iaitu Reputasi Akademik, Reputasi Majikan, Sitasi setiap Staf Akademik, Nisbah Pelajar dan Staf Akademik, Jumlah Staf Akademik Antarabangsa dan Jumlah Pelajar Antarabangsa.

Menurut Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Profesor Ts. Dr. Mohd. Rosli Hainin, penarafan ini menempatkan kedudukan UMP dalam kalangan 64 peratus universiti terbaik dunia dan menunjukkan peningkatan sebanyak enam peratus berbanding 70 peratus tahun sebelumnya.

"Kejayaan ini meletakkan UMP sebagai universiti terbaik dalam kalangan Rangkaian Universiti Teknikal Malaysia (RUTM) dan mencatat kedudukan ke-9 antara Universiti Awam (UA) di Malaysia. 

“Penarafan ini membuktikan bahawa UMP tergolong dalam universiti bertaraf dunia dan mampu berdiri setanding dengan universiti yang lebih awal penubuhannya berbanding UMP yang baharu berusia 18 tahun.

“Kedudukan UMP ini juga merupakan satu daripada pengiktirafan global dan petanda positif kepada keberkesanan pelbagai inisiatif UMP ke arah menjadi universiti teknologi terunggul menjelang 2050," katanya.

Ia juga selari dengan perancangan Pelan Strategik UMP 2021-2025 yang bakal dilancarkan Naib Canselor UMP, Prof. Ir. Dr. Wan Azhar Wan Yusoff tidak lama lagi.

Malahan UMP juga berbangga dengan pencapaian kebolehpasaran graduan iaitu 96 peratus iaitu antara tertinggi di Malaysia dan sentiasa memacu ke hadapan untuk menjadi universiti terunggul.

Penarafan QS-WUR menyaksikan universiti tertua di negara ini, Universiti Malaya (UM) berada pada kedudukan tertinggi iaitu di tangga ke-59 manakala empat buah UA lain turut tersenarai dalam kelompok 200 universiti terbaik dunia adalah Universiti Putra Malaysia (UPM) berada di kedudukan ke-132, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di kedudukan ke-141, Universiti Sains Malaysia (USM) di kedudukan ke-142 dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) di kedudukan ke-187.

Maklumat penarafan diterbitkan oleh Quacquarelli Symonds yang merupakan penganalisis pendidikan tinggi global dan boleh diakses melalui topuniversities.com.
 
Disediakan Oleh: Hazlina Faizal, Pusat Hal Ehwal Korporat dan Kualiti dan Mimi Rabita Abdul Wahit, Unit Perhubungan Awam Pejabat Naib Canselor
 

Reports by:
Admin UMP News