Skip to main content

Warga UMP hayati Rukun Negara kunci perpaduan

Pekan, 26 Ogos 2020 - ‘Bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat’, begitulah perumpamaan yang perlu dipegang oleh rakyat Malaysia dalam mengekalkan keharmonian dan perpaduan negara. 

Usaha kerajaan dalam mengekalkan perpaduan negara yang memiliki rakyat berbilang kaum, bangsa dan agama bukanlah satu perkara yang mudah. 

Justeru, 50 tahun lalu iaitu pada 31 Ogos 1970, Rukun Negara telah dibentuk bertujuan untuk mengukuhkan perpaduan negara selain kerana Peristiwa 13 Mei 1969 yang telah menggugat perpaduan di antara kaum di Malaysia. 

Rukun Negara telah diisytiharkan sempena ulang tahun kemerdekaan Malaysia yang ke-13 oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Almarhum Tuanku Ismail Nasiruddin Shah Ibni Almarhum Sultan Zainal Abidin, Yang di-Pertuan Agong IV. 

Ia mengandungi lima prinsip yang perlu dipatuhi dan dihayati setiap rakyat Malaysia iaitu Kepercayaan kepada Tuhan, Kesetiaan kepada Raja dan Negara, Keluhuran Perlembagaan, Kedaulatan Undang-undang, dan Kesopanan dan Kesusilaan. 

Rukun Negara menjadi asas bagi memastikan rakyat sentiasa menerima dan memahami kepelbagaian kaum, agama dan kepercayaan sebagai satu keistimewaan dan keunikan yang sentiasa perlu dipertahankan. 

Pegawai Tadbir, Jabatan Pendaftar, Nor Fadzillah Zulkipli berkata, rakyat Malaysia perlulah menghormati Rukun Negara supaya tidak berlakunya lagi konflik perkauman. 

 “Setiap prinsip memainkan peranan penting dalam membentuk perpaduan. Penghayatan setiap prinsip amatlah wajar supaya dapat mewujudkan suasana yang harmoni. 

“Jika ia dihayati, negara dapat menangkis sebarang ideologi negatif dan memperkukuhkan pertahanan negara dari dalam yang bertujuan memecahbelahkan rakyat dan mewujudkan suasana huru-hara,” katanya. 
 

Nor Fadzillah Zulkipli
Nor Fadzillah Zulkipli

Antara objektif Rukun Negara adalah mencapai perpaduan yang lebih erat dalam kalangan seluruh masyarakat, memelihara satu cara hidup demokratik, mencipta satu masyarakat yang adil agar kemakmuran negara dapat dinikmati bersama secara adil dan saksama.

Selain itu, Rukun Negara juga bertujuan membentuk satu sikap yang liberal terhadap tradisi kebudayaan yang kaya dan berbagai-bagai corak, dan membina sebuah masyarakat progresif yang akan menggunakan sains dan teknologi moden.

Menurut Siti Soffiah Mohamad Yusof, Pembantu Tadbir, Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (JHEPA) pula, walaupun rakyat Malaysia terdiri daripada berbilang kaum, agama dan bangsa, sekiranya sentiasa berpegang kepada lima prinsip Rukun Negara, perpaduan dan kesatuan akan tetap utuh dalam negara. 

“Ia juga dilihat sebagai hala tuju dan panduan umum untuk rakyat Malaysia. Seiring dengan kemajuan teknologi, semua maklumat berada di hujung jari. 

“Ini turut mendorong sesetengah pihak yang tidak bertanggungjawab dalam menyebar dan menanam berita-berita palsu yang bakal memberi kesan buruk kepada keselamatan dan perpaduan negara. 

“Prinsip-prinsip Rukun Negara yang ditanam sejak bangku sekolah seakan-akan lenyap dan tidak diamalkan lagi segelintir masyarakat terutamanya golongan muda,” ujar beliau. 
 

Siti Soffiah Mohamad Yusof
Siti Soffiah Mohamad Yusof

Pelajar Sarjana Muda Kejuruteraan Kimia dari Kolej Kejuruteraan, Ros Shazuin Rayyanu Mohd Zaki pula berpendapat Rukun Negara dapat membentuk perpaduan apabila setiap rakyat memahami prinsip-prinsip dengan baik tanpa rasa ragu-ragu. 

Ros Shazuin Rayyanu Mohd Zaki
Ros Shazuin Rayyanu Mohd Zaki

Syed Muhammad Arif Danial Syed Mohd Azmir, juga pelajar Sarjana Muda Kejuruteraan Kimia dari Kolej Kejuruteraan berpendapat, jika seseorang rakyat Malaysia dapat memahami maksud di sebalik setiap prinsip Rukun Negara, negara kita akan sentiasa dalam keadaan yang harmoni serta perpaduan kaum di dalam negara berada dalam keadaan yang amat baik.

Syed Muhammad Arif Danial Syed Mohd Azmir
Syed Muhammad Arif Danial Syed Mohd Azmir

Manakala menurut pelajar Sarjana Muda Kejuruteraan Kimia dari Kolej Kejuruteraan, Wan Nur Farah Azlin Wan Othman, sekiranya rakyat bersatu hati dan menghayati setiap isi kandungan Rukun Negara, sudah pasti perpaduan masyarakat terjamin tanpa sebarang ancaman dalaman yang boleh dicetuskan oleh rakyat itu sendiri.

Pada hakikatnya, asas utama wujudnya Rukun Negara adalah bagi mengembalikan perpaduan negara yang pernah tercemar susulan Peristiwa 13 Mei 1969, dan seterusnya mengukuhkan lagi perpaduan pada masa hadapan demi kesejahteraan dan keharmonian negara. 

Rukun Negara bukanlah sekadar prinsip yang dilafazkan dengan ikrar semata-mata, tetapi menuntut rakyat sendiri memahami, menghayati dan mengamalkan tanpa mengira umur, bangsa mahupun agama.  
 

Wan Nur Farah Azlin Wan Othman
Wan Nur Farah Azlin Wan Othman

Disediakan Oleh: Nur Hartini Mohd Hatta, Pejabat Suara UMP

Reports by:
Nur Hartini binti Mohd Hatta