Skip to main content

Yayasan UMP terima sumbangan 15 ribu daripada Alha Alfa Rich Legacy

KUANTAN, 7 November 2021 – Yayasan UMP menerima sumbangan bernilai RM15,000 daripada Alha Alfa Rich Legacy (AARL) untuk kebajikan pelajar dan golongan yang memerlukan bantuan.

Sumbangan itu telah diserahkan oleh Pengasas dan Pengarah Eksekutif Alha Alfa Rich Legacy, Dato’ Al Halim Al Fadzil atau dikenali sebagai Dato’ Alha Alfa kepada Pengerusi Lembaga Pengarah UMP merangkap Pengerusi Yayasan UMP, Tan Sri Dato’ Sri Dr. Abdul Aziz Abdul Rahman dalam majlis yang berlangsung di Dewan Tun Fatimah, UMP Gambang baru-baru ini.

Tan Sri Dato’ Sri Dr. Abdul Aziz menzahirkan ucapan terima kasih atas keprihatinan pihak Alha Alfa Rich Legacy atas sumbangan yang diberikan dan kerjasama erat bersama-sama universiti dalam menjayakan program khidmat komuniti (CSR).

“UMP sentiasa mengalu-alukan kerjasama ini dan sentiasa berusaha mengumpul serta menguruskan dana yang diterima daripada orang ramai, syarikat dan institusi bagi kegunaan mahasiswa UMP untuk membiayai program pendidikan dan kemasyarakatan.

“Kerjasama strategik membabitkan pihak Alha Alfa Rich Legacy ini telah pun bermula sejak awal lagi semasa menjayakan program serahan bantuan banjir di sekitar daerah Pekan.

“UMP amat menghargai jalinan kerjasama ini dan mengharapkan agar hubungan ini dapat diteruskan dan diperkukuhkan pada masa akan datang dalam misi kesukarelawanan serta membantu golongan yang memerlukan,” ujarnya.

Yayasan UMP terima sumbangan 15 ribu daripada Alha Alfa Rich Legacy

Pada masa yang sama, turut berlangsung Bicara Keusahawanan Bersama Dato’ Alha Alfa melibatkan penyertaan seramai 50 orang pelajar universiti.

Dalam program itu, Dato’ Alha berkongsi pengalaman pembabitannya dalam bidang perniagaan dan mendedahkan kisah jatuh bangun beliau dalam dunia perniagaan.

Bagi Dato’ Alha, sebagai persiapan, pelajar perlu lebih bersedia menceburi bidang keusahawanan kelak.

“Sebagai seorang usahawan, kita perlu mempunyai keberanian dan tekad yang tinggi untuk terus berusaha hingga berjaya.

“Selain itu, setiap kejayaan pasti akan melalui pelbagai rintangan yang perlu dihadapi dan dapat diatasi dengan bijak,” katanya.

Dato’ Alha juga turut berkongsi pahit manis sepanjang bergelar usahawan kosmetik.

Beliau turut berkongsi saat getir yang dilalui apabila produknya telah diciplak namun perkara tersebut dapat diselesaikan dengan cepat.

Dato’ Alha juga menyeru kepada pelajar yang meminati bidang keusahawanan agar tidak gentar dan takut untuk menceburi bidang perniagaan yang mencabar ini.

Beliau turut menasihati para pelajar agar sentiasa mendampingi rakan-rakan yang positif dan jangan terlalu rasa selesa dengan sesuatu situasi.

Tambahnya lagi, pelajar perlu sentiasa mencari idea untuk meningkatkan perniagaan masing-masing.

Alha Alfa Rich Legacy Sdn. Bhd. (AARL) merupakan syarikat kosmetik yang banyak menjayakan beberapa siri bantuan amal antaranya bantuan mangsa banjir di Pahang dan Kedah, bantuan sumbangan Gaza dan juga bantuan bakul makanan.

Alha Alfa juga terlibat membantu asnaf dengan memberi sumbangan melalui Lembaga Zakat Selangor.

Turut hadir dalam majlis itu ialah Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrie Zainuddin yang menjalankan fungsi Naib Canselor UMP, Pengarah Pusat Keusahawanan UMP, Dr. Mohd Nizar Mhd Razali, Pengarah Jaringan Industri dan Masyarakat, Profesor Madya Dr. Saiful Anwar Che Ghani, dan Ketua Eksekutif Yayasan UMP, Mohd Jamil Mohd Ja’afar.

Disediakan oleh: Nor Salwana Mohd. Idris, Unit Komunikasi Korporat, Pejabat Naib Canselor (PNC)

TAGS / KEYWORDS
Reports by:
Nor Salwana bt Hj Mohammad Idris