Skip to main content

MTUN meterai MoU dengan JPKK perkasa TVET negara

BANGI, 2 Jun 2022 - Dalam usaha memartabatkan pendidikan teknikal negara, satu jalinan dan kerjasama strategik dimeterai antara Jabatan Pengajian Politeknik dan Kolej Komuniti (JPKK) dan Rangkaian Universiti Teknikal Malaysia (MTUN) melibatkan empat universiti iaitu Universiti Malaysia Pahang (UMP), Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Universiti Tun Hussein Onn (UTHM) serta Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM).

Program menyaksikan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad hadir dalam Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara JPPKK dan MTUN yang berlangsung di Hotel Tenera, Bangi.

Hadir sama Ketua Setiausaha, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), Dato’ Seri Abdul Razak Jaafar, Ketua Pengarah Jabatan Pendidikan Tinggi, Profesor Dato’ Dr. Husaini Omar dan Ketua Pengarah Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, Ts. Zainab Ahmad. 

MTUN meterai MoU dengan JPKK perkasa TVET negara

Manakala mewakili universiti adalah Naib Canselor Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) yang juga merupakan Pengerusi Rangkaian Universiti Teknikal Malaysia (MTUN), Profesor Ts. Dr. Zaliman Sauli.

Turut sama Naib Canselor UMP, Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrie Zainuddin, Naib Canselor Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), Profesor Ts. Dr. Massila Kamalrudin dan Naib Canselor, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Profesor Ts. Dr. Ruzairi Abdul Rahim.

Menurut Datuk Seri Dr. Noraini, institusi pendidikan tinggi di bawah KPT merupakan penyumbang terbesar graduan bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) negara.

“MTUN menumpukan kepada usaha untuk menjayakan agenda pengajian tinggi negara melalui penawaran kira-kira 461 buah program pengajian di peringkat diploma, ijazah sarjana muda, sarjana dan juga PhD yang meliputi bidang  Kejuruteraan, Teknikal dan Teknologi Tinggi.

“Kolaborasi strategik antara MTUN dan JPPKK ini bakal memberikan ruang serta peluang untuk pelajar menikmati pengalaman pembelajaran yang lebih komprehensif melalui kursus-kursus yang ditawarkan oleh kedua-dua institusi MTUN dan JPPKK seterusnya dapat meningkatkan pengambilan lepasan politeknik ke MTUN.

“Selain itu, kolaborasi ini juga berupaya menjadi pemangkin untuk mengekalkan kelestarian bidang TVET pada masa hadapan, di samping memastikan kesinambungan laluan akademik pelajar politeknik dan kolej komuniti selepas mereka tamat pengajian sehingga ke peringkat tertinggi,” katanya.

Dalam pada itu, Datuk Seri Dr Noraini turut menyarankan agar Centre of Excellent (COE) MTUN dan Centre of Technology (COT) Politeknik berpadu usaha untuk menggiatkan lagi aktiviti kolaborasi, perkhidmatan kepakaran serta penyelidikan dan inovasi seiring dengan aspirasi kementerian untuk memasyarakatkan TVET.

MTUN meterai MoU dengan JPKK perkasa TVET negara

Manakala menurut Profesor Dato’ Ts. Dr, Yuserrie, MoU ini bakal memberi manfaat yang besar kepada MTUN dan semua institusi penyedia TVET awam yang akan memainkan peranan penting dalam menghasilkan graduan TVET melalui penyediaan program pendidikan, latihan prapekerjaan, program kemahiran semula atau reskilling, dan program peningkatan kemahiran atau upskilling.

“UMP turut menawarkan program akademik beridentitikan teknikal dengan kurikulum diterajui industri yang memenuhi keperluan utama negara. 

“Sehingga kini, UMP menawarkan sebanyak 15 program Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan, enam program Sarjana Muda Teknologi dan lima program Diploma Kejuruteraan/Teknologi Kejuruteraan.  

“Pada masa kini, keberhasilan program-program TVET yang dilaksanakan telah terbukti dengan pencapaian peratus kebolehpasaran graduan TVET yang sentiasa melebihi 90 peratus sejak tahun 2006,” ujarnya. 

Tambah beliau lagi, begitu juga dengan kadar kebolehpasaran graduan TVET yang  turut meningkat kepada 93.7 peratus berbanding 91.4 peratus pada tahun 2021.

Disediakan oleh: Mimi Rabita Abdul Wahit, Bahagian Komunikasi Korporat, Jabatan Canseleri.

TAGS / KEYWORDS
Reports by:
Mimi Rabita binti Abd Wahit