Skip to main content

UMP dan MTNP meterai kerjasama dalam Program Pensijilan Ulul Albab

Pekan, 19 Ogos 2020 - Pelajar daripada aliran tahfiz tidak perlu gusar untuk meneruskan pengajian akademik di Universiti Malaysia Pahang (UMP) memandangkan mereka juga boleh meneruskan hasrat menghafal al-Quran di sepanjang pengajian. 

Malahan pelajar lain yang berminat juga turut sama berpeluang mengikuti Program Pensijilan Ulul Albab hasil jalinan kerjasama antara UMP dan Maahad Tahfiz Negeri Pahang (MTNP).

Program ini merupakan salah satu usaha untuk mendokong Falsafah Pendidikan Kebangsaan sebagai suatu usaha berterusan ke arah memperkembangkan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan.

Majlis menyaksikan memorandum persefahaman (MoU) ditandatangani Naib Canselor UMP, Profesor Ir. Dr. Wan Azhar Wan Yusoff dan Pengarah Pusat Islam dan Pembangunan Insan (PIMPIN), Dr. Rashidi Abbas manakala pihak MTNP diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dato’ Dr. Haji Zulkifle Haji Ali dan Penolong Pengurus Akademik (Tahfiz Profesional), Mohd. Saleh Ramli.

Menurut Profesor Ir. Dr. Wan Azhar, usaha ini sebagai melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan, berketerampilan, berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri, serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran keluarga, masyarakat dan negara.
 
“MoU dimeterai ini juga akan memberikan pengiktirafan kepada mereka yang telah berjaya menghafal sebanyak lima hingga 30 juzuk yang boleh dijadikan nilai tambah kepada mereka apabila bergraduasi kelak.
 
“Matlamat utama pelaksanaan program ini adalah untuk melahirkan golongan profesional, teknokrat dan usahawan hafiz yang memiliki kepelbagaian kemahiran ilmu.

“Ia juga bertepatan dengan nilai teras UMP yang pertama iaitu hubungan yang kuat dengan Yang Maha Pencipta dengan matlamat memberikan pendidikan seimbang dunia dan akhirat kepada mahasiswa di UMP,” katanya yang hadir menandatangani MoU di Dewan Bankuet, UMP Pekan.

Sementara itu, Dato’ Dr. Haji Zulkifle, turut mengalu-alukan kerjasama ini dan mengharapkan lebih banyak peluang kerjasama lain pada masa akan datang.

“Malah, buat masa ini, ada dalam kalangan alumni MTNP kini sedang menyambung pengajian di dalam negara, termasuklah di UMP dan juga di luar negara seperti di Jerman, Jepun, United Kingdom dan Amerika Syarikat.

“Selain itu, kami juga menawarkan program bermula di peringkat prasekolah hingga ke peringkat diploma,” ujar beliau.

Sehingga kini, MTNP mempunyai enam cawangan tadika tahfiz dan sekolah rendah tahfiz yang akan memulakan sesi pada tahun hadapan.

MTNP turut memperkenalkan program baharu untuk membuka peluang kepada orang awam yang berminat untuk menghafal al-Quran.

Program ini bermula pada 7 April 2017 dengan Projek Perintis Engineer Huffaz dengan pengambilan seramai 15 orang mahasiswa sebagai perintis di bawah seliaan PIMPIN. 

Hasil daripada projek tersebut, seramai lima orang pelajar telah berjaya menghafal sebanyak lima juzuk dalam satu semester.

Program ini telah berlangsung selama tiga semester yang melibatkan seramai 56 orang pelajar UMP.

Daripada jumlah tersebut, seramai 16 orang peserta telah memperoleh pencapaian hafazan melebihi Juzuk 3.
 
 Disediakan Oleh: Mimi Rabita Abdul Wahit, Unit Perhubungan Awam dan Media, Pejabat Naib Canselor

Reports by:
Mimi Rabita binti Abd Wahit