Skip to main content

UMP, FeMAC rangka kerjasama memperkasakan program TVET

KUALA LUMPUR, 25 November 2021 - Kerjasama strategik Universiti Malaysia Pahang (UMP) dan Persekutuan Pusat Bertauliah JPK Malaysia (FeMAC) bakal memberi peluang graduan kemahiran lepasan Diploma Vokasional Malaysia (DVM), Diploma Kemahiran Malaysia (DKM) dan Diploma Lanjutan Kemahiran Malaysia (DLKM) menyambung pengajian program Ijazah Sarjana Muda Teknologi yang ditawarkan universiti ini.

FeMAC merupakan sebuah badan bersekutu yang memayungi ratusan pemberi latihan kemahiran (Skill Training Providers) yang rapat dengan badan pengiktiraf seperti Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) dalam memperkasakan program Pendidikan Teknikal dan Latihan Kemahiran (TVET) yang menyumbang kepakaran terhadap pembangunan negara negara.  
 
Majlis menyaksikan Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrie Zainuddin yang menjalankan fungsi Naib Canselor UMP dan Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Profesor Ts. Dr. Mohd. Rosli Hainin menandatangani perjanjian bagi pihak UMP manakala FeMAC diwakili oleh Presidennya, Azizul Mohd. Othman dan Timbalan Presiden FeMAC, Ts. Dr. Ravinthiran a/l Ramasamy.
 
Menurut Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrie, kerjasama ini juga diharapkan dapat melebarkan lagi kemahiran  mereka untuk melanjutkan pengajian ke peringkat ijazah seterusnya ke peringkat ijazah kedoktoran (PhD). 

“Di samping itu, melalui kolaborasi ini juga pihak FeMAC dapat membantu tenaga pengajar Ijazah Sarjana Muda Teknologi untuk mendapatkan sijil kompetensi tenaga pengajar.
 
“UMP akan berkongsi kepakaran dan pengalaman dalam pelbagai bidang misalnya menawarkan program akademik peringkat Master Eksekutif kepada pengurusan tertinggi FeMAC melalui UMP Advanced.

“UMP akan memberikan tumpuan yang khusus dalam konteks peranan UMP sebagai rakan akademik kepada pihak FeMAC,” katanya dalam majlis menandatangani MoU yang berlangsung di Hotel DoubleTree by Hilton Hotel Kuala Lumpur. 

Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif UMP Advanced, Profesor Madya Ts. Dr. Rusllim Mohamed dan Dekan Kanan, Kolej Teknologi Kejuruteraan, Profesor Dr. Abdullah Ibrahim.
 
Tambahnya, kerjasama ini juga bertepatan dengan agenda Pelan Strategik UMP 2021-2025 dalam jaringan hubungan kerjasama dengan pihak industri sama ada dalam penghasilan inovasi dan penyelidikan.
 
Sebagai salah satu universiti dalam Rangkaian Universiti Teknikal Malaysia (MTUN), UMP banyak menawarkan program-program teknikal seperti Kejuruteraan, Teknologi Kejuruteraan dan Teknologi selain daripada program-progam yang disifatkan sebagai ‘soft technical’ seperti Komputer, Sains dan Pengurusan Industri. 

Lain-lain universiti MTUN adalah Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) dan Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM).

Disediakan oleh: Mimi Rabita Abdul Wahit, Unit Komunikasi Korporat, Pejabat Naib Canselor (PNC)

TAGS / KEYWORDS
Reports by:
Mimi Rabita binti Abd Wahit