Skip to main content

UMP perluas jaringan kerjasama antarabangsa dengan Konstanz University of Applied Sciences Jerman

PAYA BESAR, 15 Disember 2021 – Universiti Malaysia Pahang (UMP) menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Konstanz University of Applied Sciences (HTWG-Konstanz) Jerman dalam meluaskan jaringan kerjasama antarabangsa di samping memperkukuhkan lagi hubungan kedua-dua universiti.
 
Majlis yang dijalankan secara dalam talian itu menyaksikan Profesor Dato’ Ts Dr. Yuserrie Zainuddin yang menjalankan fungsi Naib Canselor UMP menandatangani MoU manakala bagi pihak HTWG-Konstanz pula diwakili Presidennya, Profesor Dr. Sabine Rein.

Turut sama dalam program Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Profesor Ts. Dr. Mohd. Rosli Hainin, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Profesor Ts. Dr. Kamal Zuhairi Zamli, Pengarah DAAD Malaysia Kuala Lumpur merangkap Lembaga Pengarah Program Pengajian Jerman UMP dan Naib Presiden HTWG-Konstanz, Professor Dr. Katrin Klodt-Bußmann.

UMP perluas jaringan kerjasama antarabangsa dengan Konstanz University of Applied Sciences Jerman

Menurut Profesor Dato’ Ts Dr. Yuserrie, MoU ini merupakan sejarah penting UMP khususnya kepada Fakulti Pengurusan Industri (FPI), Pusat Kerjasama Akademik Jerman dan Pusat Hubungan Antarabangsa untuk terus menjalinkan kerjasama strategik dalam bidang akademik dan penyelidikan.

“Ia juga merupakan salah satu bukti usahasama UMP dan DAAD Malaysia yang sentiasa menyokong kolaborasi strategik dan atas kepercayaan  pihak Institusi Jerman sejak sedekad lalu.

“Menerusi kerjasama yang dijalinkan ini bukan hanya dapat mengeratkan hubungan dua hala, malah kedua-dua universiti dapat memanfaatkan dalam pelbagai bidang terutamanya Kejuruteraan, Penyelidikan, Teknologi Maklumat dan Perniagaan.

“Selain itu, selaras dengan Pelan Strategik UMP 2021-2025, universiti  turut memberi penekanan khusus untuk mengadakan lebih banyak kerjasama antarabangsa dengan universiti dan industri yang berpotensi,” katanya

Kerjasama ini meliputi mempergiatkan dalam aktiviti akademik dan pendidikan seperti pertukaran pelajar dan staf, pembangunan program baharu seperti dwiijazah dan mewujudkan peluang latihan, penyelidikan serta penglibatan dalam syarahan atau simposium.

Melalui inisiatif ini juga akan memberi tumpuan kepada program pengajian Sains komputer, Teknologi Maklumat, Kejuruteraan, Bahasa dan Budaya, Perniagaan dan Pengurusan dan pelbagai bidang yang berkaitan.

HTWG-Konstanz merupakan sebuah universiti yang menawarkan pelbagai program antaranya Kejuruteraan, Komputeran dan Perniagaan yang terletak di Konstanz, Baden-Wuttemberg, Jerman.

Disediakan oleh: Nor Salwana Mohd Idris, Unit Komunikasi Korporat, Pejabat Naib Canselor (PNC)

TAGS / KEYWORDS
Reports by:
Nor Salwana bt Hj Mohammad Idris