Skip to main content

UMP, PERODUA jalin kerjasama strategik tawar program BTech Apprenticeship

KUALA LUMPUR, 12 April 2021 - Jalinan kerjasama antara Universiti Malaysia Pahang (UMP) dengan Kumpulan PERODUA bakal memperkasakan program Pendidikan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) negara ini menerusi penawaran Program Sarjana Muda Teknologi (BTech Apprenticeship) yang menggunakan model pendidikan Kejuruteraan Jerman (Fachhochschule) dalam sistem pendidikan di negara ini.
Program berkonsepkan Earn & Learn yang julung kali diperkenalkan di Malaysia itu bakal menjadi penanda aras terhadap pengajian lain dalam menerapkan elemen Revolusi Perindustrian ke-4 (IR4.0) yang menggabungkan teknologi automasi dengan teknologi siber.
Ia selaras dengan matlamat penubuhan Majlis TVET dan menyokong inisiatif Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dalam memperkasakan graduan TVET negara.
Program ini mendapat kerjasama Jabatan Pendidikan Tinggi (JPT) dan Lembaga Teknologis Malaysia (MBOT).
Program ini dibangunkan oleh UMP khusus untuk staf PERODUA mengikuti pengajaran dan pembelajaran di lapangan tempat mereka bekerja dengan pendekatan pembelajaran berorientasi projek berasaskan masalah (project oriented problem based learning, POPBL).
Para pelajar bekerja seperti biasa sambil melengkapkan kurikulum pengajian melalui projek dan penilaian berasaskan portfolio dan ujian cabaran (challenge test).
Pada masa yang sama, ahli akademik UMP boleh meningkatkan pengalaman dan kemahiran mereka melalui pendedahan sebenar dan praktis di industri khususnya PERODUA dan boleh menjalankan penyelidikan bersama antara universiti dan industri.
Majlis menyaksikan pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) antara Naib Canselor UMP, Profesor Ir. Dr. Wan Azhar Wan Yusoff dan Presiden serta Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PERODUA, Dato’ Zainal Abidin Ahmad sambil disaksikan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad, Pengerusi Lembaga Pengarah UMP, Tan Sri Dato’ Sri Dr. Abdul Aziz Abdul Rahman, Presiden Lembaga Teknologis Malaysia, Datuk Ir. Ts. Dr. Hamisah Tapsir, Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Jabatan Pengajian Tinggi, Kementerian Pengajian Tinggi, Profesor Dato’ Dr. Husaini Omar dan Pengerusi Lembaga Pengarah UMP Advanced, Mohd Sharil Abdullah.
Hadir sama ialah Ketua Pegawai Eksekutif UMP Advanced, Profesor Madya Ts. Dr. Mohd. Rusllim Mohamed dan Pengurus Besar Kanan Divisyen Pembelajaran dan Pembangunan PERODUA Sales Sdn. Bhd., Mariam Ibrahim.
Menurut Profesor Ir. Dr. Wan Azhar, Mod Industri Perantisan berkonsepkan Earn & Learn ini bakal meningkatkan motivasi terhadap sumber bakat staf dan pekerja industri untuk melengkapkan diri dengan pengetahuan baharu yang menyumbang kepada produktiviti syarikat dan negara.
“Kerjasama strategik ini akan memberi tumpuan kepada peningkatan sumber bakat Kumpulan PERODUA dari pelbagai lapisan.
“Mereka berpeluang meningkatkan tahap akademik dengan mengikuti pengajian di lapangan dengan masa yang bersesuaian tanpa perlu meninggalkan tugas dan tanggungjawab hakiki mereka,” katanya semasa berucap dalam majlis yang berlangsung di Hotel Impiana Kuala Lumpur.
Ujarnya, pendekatan POPBL ini mampu memastikan sumber bakat staf dan pekerja industri mendapat pendedahan daripada kemahiran menyelia kepada kemahiran mengurus dengan penekanan elemen pintar perniagaan.
“Kerjasama strategik ini akan dilaksanakan oleh pihak UMP Advanced iaitu anak syarikat UMP yang bakal mengurus dan memantau program berdasarkan piawaian yang telah ditetapkan oleh pihak Lembaga Teknologis Malaysia dan Senat Universiti,” ujarnya.
Sementara itu, Dato’ Zainal berkata, MoU ini amat bermakna kepada PERODUA kerana ia menyumbang dalam penambahbaikan sistem pendidikan tinggi negara terutama dalam bidang industri automotif. 
“Selain itu, PERODUA juga telah melaksanakan inisiatif sendiri menerusi Program Latihan Remaja Perodua sejak tahun 1999 dan sehingga kini lebih 3,000 orang pelajar telah menyertai program tersebut dan kebanyakannya telah diserap bekerja di syarikatnya.
“Saya percaya pendidikan TVET ini mempunyai prospek yang amat luas serta memberi kesan positif kepada ekosistem automotif negara serta industri-industri lain dan mengharapkan program ini dapat meningkatkan kemahiran dan taraf pendidikan warga PERODUA.
“Dalam pada itu, program yang dirangka khas ini akan memberi penekanan agresif kepada usaha memperluaskan jaringan kerjasama antara universiti dan pihak industri,” katanya.
Sebagai salah satu daripada universiti dalam Rangkaian Universiti Teknikal Malaysia (MTUN), UMP komited dalam melahirkan graduan teknologi kejuruteraan yang kompeten bertaraf antarabangsa.
Kolaborasi ini menjadikan program yang bakal ditawarkan amat praktikal dan fleksibel untuk disesuaikan dengan keperluan negara kini dalam mendepani cabaran IR4.0 serta melengkapkan ekosistem pendidikan TVET di Malaysia.

Disediakan Oleh: Mimi Rabita Abdul Wahit, Unit Komunikasi Korporat, Pejabat Naib Canselor (PNC)

Reports by:
Mimi Rabita binti Abd Wahit