Skip to main content

Lawatan Pelaksanaan Program Pemulihan dalam Komuniti (PPDK)

PEKAN, 26 Januari 2023 - Universiti Malaysia Pahang (UMP) menerima kunjungan daripada delegasi Kementerian Pendidikan  Tinggi (KPT), Kementerian Kewangan Malaysia dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi meninjau mengenai pelaksanaan Program Pemulihan dalam Komuniti (PPDK) di peringkat UMP.

Delegasi yang diketuai oleh Pengarah Bahagian Mahasiswa Holistik, Jabatan Pendidikan Tinggi, Hirman Awang telah sambut oleh Ketua Pustakawan UMP, Azman Abdul Rahim bersama pengurus dan pegawai universiti. 

Hadir sama Pengarah Unit Perkhidmatan Orang Kurang Upaya, Dr. Munira Abdul Razak dan Pengurus Besar Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Haryani Abdullah. 

Menurut Dr. Munira, Unit Perkhidmatan OKU UMP telah mendapat peruntukan bagi melaksanakan inisiatif PPDK. 

“UMP memberi tumpuan  terhadap teknologi inklusif  selari dengan Pelaksanaan Pelan Strategik UMP 2021-2025 dalam mewujudkan Ekosistem OKUMP yang inklulsif dan kondusif.

“Terdapat empat domain perkhidmatan utama merangkumi Tadbir Urus, Pengajaran dan Pembelajaran (PdP), Aksesibiliti dan Ketersambungan Persekiratan Kampus dan Perkhidmatan Sokongan,” katanya. 

Pihaknya  turut membentangkan status projek PPDK dan projek naik taraf fasiliti Mesra OKU di UMP antaranya seperti Modul i.K.M.A.L yang dibangunkan untuk memberi latihan dan bahan yang digunakan untuk kemudahan OKU.

Dalam pada masa yang sama, beliau turut berkongsi perkembangan mengenai projek naik taraf Kemudahan Mesra OKU di UMP Pekan. 

Pada masa ini, UMP turut mempunyai Van Mobiliti OKU yang telah direka khas untuk warga OKU UMP sekiranya berlaku kecemasan dan sebagai kemudahan pengangkutan golongan ini. 

Dalam pada itu, Ketua Penolong Pengarah Belanjawan Negara, Foo Sook Fuang amat berpuas hati dengan perkembangan PPDK di UMP yang dilihat banyak perkembangan dan ia merupakan pencapaian yang sangat mengagumkan.

“Saya percaya UMP akan terus menjalinkan kerjasama dengan pihak luar untuk memantapkan lagi program PPDK.

“Saya juga percaya hasrat UMP untuk menjadi Pusat Rujukan Universiti akan tercapai dalam masa terdekat dengan usaha yang bersungguh-sungguh yang telah ditunjukkan ini,” katanya.

Manakala bagi Hirman, pihaknya mengucapkan tahniah kepada UMP dalam menjayakan program PPDK. 

Pihaknya mengharapkan program PPDK ini menerusi sudut teknologi bukan hanya dapat membantu golongan OKU di UMP malah di seluruh Malaysia. 

“Selain itu diharapkan  UMP akan dapat meningkatkan lagi inovasi baharu yang dapat membantu OKU di Malaysia,” katanya. 

Disediakan oleh: Nor Salwana Mohammad Idris, Bahagian Komunikasi Korporat Jabatan Canseleri 

TAGS / KEYWORDS
Reports by:
Nor Salwana bt Hj Mohammad Idris