Skip to main content

8 produk penyelidikan UMP diiktiraf raih pingat dalam MTE 2021

PEKAN, 29 Oktober 2021 - Universiti Malaysia Pahang (UMP) terus mencipta kecemerlangan yang membanggakan apabila lapan produk penyelidikan meraih pingat dalam Ekspo Teknologi Malaysia (MTE) Sustainable Development Goals International Innovation Award (SDGIIA) yang berlangsung secara dalam talian baru-baru ini. 

UMP meraih empat pingat emas, dua perak dan dua gangsa pada penganjuran kali ini.

Produk ‘Physio-Treadmill (Phymill) for Cerebral Palsy Kid’s hasil penyelidikan Ts. Dr. Mohd Azrul Hisham Mohd Adib bukan sahaja meraih pingat emas malah menerima anugerah Outstanding Innovation Award.

Menurut  Ts. Dr. Mohd Azrul, Physio-Treadmill atau dikenali sebagai PhyMill ini merupakan alat senaman automatik untuk melatih berjalan bagi pesakit dalam kalangan kanak-kanak yang mempunyai masalah mengawal kedudukan dan pengaktifan badan yang disebabkan gangguan pada otak atau lebih mudah dikenali sebagai Cerebral Palsi.

“PhyMill ini mempunyai tiga mod utama iaitu mod pertama kawalan berjalan bagi pesakit sama ada secara ke hadapan atau pun ke belakang. 

“Mod ini juga dapat membantu juruterapi bagi mengenal pasti tahap kelajuan pesakit dalam berjalan.

“Mod kedua pula adalah kawalan tahap ketinggian pesakit. Melalui mod ini setiap pesakit dapat melaras ketinggian PhyMill mengikut keselesaan mereka sendiri,” ujarnya. 

Katanya, manakala mod ketiga pula adalah skrin paparan khas yang  bertujuan untuk menarik minat dan menghilangkan rasa bosan pesakit semasa menjalani latihan terapi bersama PhyMill.

8 produk penyelidikan UMP diiktiraf raih pingat dalam MTE 2021

Turut meraih pingat emas dan anugerah khas Outstanding Innovation Award adalah produk penyelidikan Dr. Lee Chia Kuang yang merupakan Pensyarah Kanan, Fakulti Pengurusan Industri (FPI) dengan tajuk ‘Accelerates Human Capital Development with E-GCPM Modular: Quality Project Management Education for All’.

Bagi pingat perak pula telah dimenangi oleh pensyarah Fakulti Sains dan Teknologi Industri (FSTI), Dr. Nazikussabah Zaharudin dengan penyelidikannya yang bertajuk ‘Glucofix: Brown Seaweed Effects on Glucose Liberation’ dan Profesor Madya Dr. Agus Geter Edy Sutjipto pula yang bertajuk ‘Competitive Advantage of Inert Ceramic Balls Manufactured from Malaysian’.

Manakala Dekan Fakulti Teknologi Kejuruteraan dan Mekatronik (FTKM), Profesor Madya Ir. Ts. Dr. Faiz Mohd Turan dengan penyelidikan yang bertajuk ‘HUPDA (Humanistic Performance Design Assessment)’ pula memenangi pingat gangsa.

Turut meraih kejayaan di pentas yang sama iaitu pasukan pelajar UMP yang melakar kejayaan meraih pingat emas dan anugerah khas bagi dua projek penyelidikan.

Projek ‘Poulfit’ telah menerima Anugerah Khas Malaysian Society of Molecular Biologi and Biotechnology (MSMBB). Ia merupakan hasil penyelidikan Ali Zainal Abidin Mohamad Termizi, Muhammad Amirul Syafiq Nasarudin. Naagasurune a/p Arumugam, Muhamad Shahrul Faiz Mohd Nasir.

Manakala penyelidikan yang bertajuk Jauhar Straw pula meraih anugerah Khas Taiwan International Invention Award yang merupakan hasil penyelidikan sekumpulan penyelidik yang terdiri daripada Nurul Farah Anisa Hairolnizam, Muhammad Ezree Amree Amran, Nur Fariha Aqilah Amran, Muhammad Haziq Hamizat dan Nur Ardini Balqis Mohd Zaini.

8 produk penyelidikan UMP diiktiraf raih pingat dalam MTE 2021

Bagi pingat perak pula telah dimenangi oleh Muhammad Amirul Syafiq Nasarudin dengan penyelidikan yang bertajuk ‘Development of Capra Hircus feed by The Utilization of Solid Waste and Palm Oil Acid (POA) from Palm Oil Mill Effluent’.

Kesemua produk penyelidikan pelajar ini diselia oleh Dr. Abdul Syukor Abd Razak dan Dr. Suryati Sulaiman.

Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrie Zainudin yang menjalankan fungsi Naib Canselor UMP mengucapkan tahniah kepada semua penyelidik UMP yang berjaya mengharumkan nama universiti.

Beliau mengharapkan penyelidikan ini akan menjadi pendorong kepada semua penyelidik agar terus aktif dalam aktiviti penyelidikan demi kesejahteraan masyarakat dan negara seiring dengan Pelan Perancangan Strategik UMP 2021-2025 (UMP25) dengan bertemakan ‘Teknologi Untuk Masyarakat’.

Disediakan oleh: Nor Salwana Mohd. Idris, Unit Komunikasi Korporat, Pejabat Naib Canselor (PNC)

TAGS / KEYWORDS
Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri