Skip to main content

Kolaborasi UMP, MNR dan UMW dalam penyelidikan minyak gris gred makanan

KUALA LUMPUR, 22 Mac 2022 – Universiti Malaysia Pahang (UMP) bakal berkolaborasi dengan Multitech Sdn. Bhd. (MNR) dan UMW Innovation and R&D Centre Sdn. Bhd. dalam menjalankan projek penyelidikan minyak gris gred makanan.

Penyelidikan ini diketuai oleh Pengarah MNR, Ts. Mohd Najib Razali yang juga merupakan pensyarah di Fakulti Teknologi Kejuruteraan Kimia dan Proses (FTKKP) UMP. 

Bagi Ts. Mohd Najib, produk yang dihasilkan ini adalah formulasi minyak gris gred makanan menggunakan bahan-bahan yang halal.

“Produk ini akan menggunakan minyak asas yang dihasilkan oleh pihak UMW dan ia selamat digunakan dalam industri halal seperti industri pemprosesan makanan, farmasi, ubatan dan industri-industri yang lain,” katanya.

Naib Canselor UMP, Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrie  Zainuddin berkata, kolaborasi bersama industri ini merupakan antara inisiatif Pelan Strategik UMP 2021-2025 dalam meningkatkan hubungan inovasi bersama industri dalam penghasilan teknologi dan  produk yang mampu menaik taraf teknologi industri.

“Universiti ini turut memberi tumpuan kepada penyelidikan gunaan dan projek industri dengan industri setempat bagi memperkayakan pengajaran dan pembelajaran di samping mempromosikan aktiviti pengkomersialan produk penyelidikan.

“Malahan beberapa projek anchor,  bersifat transformasi digital  termasuk projek-projek ‘Made in UMP’ yang dihasilkan oleh penyelidik dari dalam UMP sendiri akan menyokong ke arah usaha yang akan diperkembangkan ke kawasan di sekitar UMP bagi memanfaatkan komuniti di persekitaran UMP seiring dengan slogan Pelan Strategik UMP 2021-2025 iaitu ‘Teknologi untuk Masyarakat’,” Katanya.

Sesi pertemuan ini menyaksikan Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrie  menerima dokumen perjanjian yang diserahkan oleh UMW Holdings Berhad, Dato’ Rashid Musa yang merupakan Ketua Pegawai Kumpulan Mobiliti dan Inovasi yang juga Presiden Aerospace.

Turut sama hadir Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti, Tan Sri Dato’ Sri Dr. Abdul Aziz Abdul Rahman dan Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UMP, Profesor Ts. Dr. Kamal Zuhairi Zamli.

Disediakan oleh: Laili Zulkepeli, Jabatan Penyelidikan dan Inovasi 

Reports by:
Admin UMP News