Skip to main content
Sistem Blockchain Perusahaan Sarang Burung Walet hasil kerjasama DVS dan UMP dilancar

Sistem Blockchain Perusahaan Sarang Burung Walet hasil kerjasama DVS dan UMP dilancar

SERDANG, 12 Ogos 2022 - Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS), Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) dengan kerjasama Universiti Malaysia Pahang (UMP) melancarkan projek Sistem Blockchain bagi Perusahaan Sarang Burung Walet yang menggunakan teknologi blockchain bagi memastikan keselamatan maklumat terjamin dan kelancaran proses sepanjang proses pendaftaran burung walet.

Majlis pelancaran telah disempurnakan oleh Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee yang turut dihadiri Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar, Dr. Akmal Ngah Hamid dan Naib Canselor UMP, Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrie Zainuddin. 

Pelancaran Sistem MyWalet itu telah berlangsung bersempena Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan (MAHA) 2022 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) baru-baru ini.

Sistem Mywalet ini pada mulanya adalah di bawah Projek National Key Economic Area, NKEA Agriculture EPP2 yang telah dibangunkan secara pilot projek bermula 1 Mei 2019 sehingga 31 Oktober 2020. 

Ia secara rasminya telah digunakan bermula awal tahun 2022 bagi kesemua negeri di Semenanjung, Sabah dan Sarawak.

Menurut Dr. Akmal Ngah, burung walet adalah makanan kesihatan dan 'suplemen kecantikan' yang sangat besar kebaikannya.

“Ia bukan sahaja bermanfaat untuk kecantikan bahkan juga untuk kesihatan tubuh badan manusia.
 
“Amalan pemakanan sarang burung walit boleh dilakukan sama ada secara dalam penyediaan air minuman atau hidangan sup namun perkembangan teknologi dan industri pada hari ni telah menggunakan sarang burung walet dalam penghasilan produk seperti kosmetik dan juga sebagai produk makanan tambahan.
 
“Bagi memastikan produk sarang burung walet yang dihasilkan berkualiti tinggi dan selamat untuk pengguna, Jabatan Perkhidmatan Veterinar akan sentiasa memberi galakan dan khidmat nasihat yang berterusan agar para pengusaha serta pemain industri berdaftar dengan DVS dan mengamalkan amalan perladangan yang baik untuk mendapatkan Persijilan MyGAP bagi semua rumah burung walet,” katanya.

Ujar beliau, sehingga kini, sebanyak 14,307 rumah burung walet telah berdaftar dan 2,143 rumah burung walet telah berjaya mendapat Persijilan MyGAP.

Dalam pada itu, bagi memastikan sistem MyWalet ini mesra pengguna dan mencapai objektifnya, DVS turut bekerjasama dengan Persatuan Industri Perusahaan dan Pengeksport Sarang Burung Walet bermula daripada pembangunan sistem dari awal tahun 2019 sehingga sistem ini selesai dibangunkan dengan jayanya.

Sementara itu, Profesor Dato’ Ts’ Dr’ Yuserrie berkata, Sistem MyWalet ini telah dibangunkan dengan menggunakan teknologi blockchain (rantaian blok) yang merupakan satu cara untuk menyimpan dan merekod maklumat yang menggunakan lejar elektronik iaitu aliran kawalan rekod yang selamat dari ubahan yang tidak sah. 

Sistem Blockchain Perusahaan Sarang Burung Walet hasil kerjasama DVS dan UMP dilancar

“Teknologi ini dikenali sebagai ‘decentralized system’ dan ‘open ledger system’.
 
“Dengan terhasilnya teknologi ini melalui satu sistem kebolehjejakan dapat memudahkan kesemua pemegang taruh dalam perusahaan sarang burung walet menjejak setiap transaksi dan aktiviti masing-masing.

“Selain itu juga, Sistem MyWalet ini berupaya merekod setiap entiti dan operasi serta maklumat yang terlibat dalam pemrosesan sarang burung Walet bermula daripada proses terawal iaitu pengumpulan sarang burung di rumah burung, penghantaran ke kilang pembersihan, pembungkusan dan sehinggalah ke proses terakhir untuk dieksport ke negara China,” katanya. 

Sistem ini dibangunkan hasil perundingan yang telah dijalankan oleh pasukan penyelidik UMP yang diketuai oleh Profesor Madya Dr. Mohd Ridzuan Darun di bawah kelolaan Pusat Pembangunan Perisian dan Perkomputeran Bersepadu yang kini dikenali sebagai Pusat Kecerdasan Buatan dan Sains Data, UMP.

Sistem Blockchain Perusahaan Sarang Burung Walet hasil kerjasama DVS dan UMP dilancar

Oleh: Mimi Rabita Abdul Wahit, Bahagian Komunikasi Korporat, Jabatan Canseleri
 

Reports by:
Mimi Rabita binti Abd Wahit