Skip to main content

Kejohanan Golf erat hubungan kekeluargaan antara UA

KUANTAN, 29 Mei 2022 - Seramai 300 orang pemain golf daripada  universiti awam (UA) berentap dalam Kejohanan Golf Universiti Awam Ke-49 yang dijalankan selama dua hari bermula 28 dan 29 Mei 2022.

Terdapat tiga lokasi kejohanan iaitu di Kelab Golf Diraja Pahang, Kuantan, Kelab Golf Diraja Pekan dan Mahkota Golf and Country Club, Kuantan. 

Menurut Naib Canselor Universiti Malaysia Pahang (UMP), Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrie Zainuddin, kejohanan ini dapat menyemarakkan semangat kesukanan dan mempereratkan hubungan setiakawan dalam kalangan keluarga Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).

“Kejohanan golf pada kali ini juga boleh dijadikan sebagai platform bagi membantu Kerajaan Negeri Pahang mempromosikan edu-pelancangon di negeri ini khususnya kepada peminat-peminat sukan golf di tanah air,” katanya dalam Majlis Penyampaian Hadiah Kejohanan Golf Antara Universiti Awam Malaysia kali ke-49 di Kelab Golf Diraja Pahang, Kuantan. 

Kejohanan Golf erat hubungan kekeluargaan antara UA

Menurutnya, pertemuan ini membentuk lebih banyak jaringan dalam kalangan peserta untuk berkongsi pendapat dan kepakaran masing-masing.

Beliau juga berharap agar pertandingan golf ini akan diteruskan lagi pada masa akan datang demi memperkukuhkan lagi hubungan dan rangkaian antara semua pemain golf dalam kalangan staf universiti awam di Malaysia. 

Selain itu, empat kategori yang dipertandingkan iaitu gross, nett, VVIP dan jemputan.

Dalam pada itu, UMP turut berbangga apabila diberikan penghormatan dan kepercayaan menjadi tuan rumah kepada pertandingan berprestij ini. 

Kejohanan Golf erat hubungan kekeluargaan antara UA

UMP disertai seramai sepuluh orang pemain yang diketuai oleh Pro-Canselor UMP, Tan Sri Dato’ Sri (Dr.) Abi Musa Asa’ari Mohamed Nor, ahli LPU UMP, Dato' Mohd Sharil Abdullah dan Ketua Pegawai Kewangan/Bendahari UMP, Zainudin Othman mengambil bahagian dalam Kategori VVIP. 

Kejohanan menyaksikan Universiti Teknologi MARA (UiTM) muncul juara keseluruhan dalam Kejohanan Golf antara Universiti Awam Malaysia Ke-49.  

Kejayaan itu hasil pungutan tiga pingat emas dan satu perak. 

Manakala Universiti Utara Malaysia (UUM) di tempat kedua dengan dua pingat emas dan UMP raih tempat ketiga dengan satu emas. 

Majlis turut dihadiri Ketua Setiausaha KPT, Dato’ Seri Abdul Razak  Jaafar. 

Disediakan oleh:  Mimi Rabita Abdul Wahit, Bahagian Komunikasi Korporat, Jabatan Canseleri

Reports by:
Mimi Rabita binti Abd Wahit