Skip to main content

Syahir, Kamariah dinobat Atlet Terbaik Anugerah Sukan

Kuantan, 28 Ogos 2020 - Staf Pusat Sukan dan Kebudayaan, Syahir Ahmad Termizi, 26 dinobatkan sebagai penerima Anugerah Sukan bagi kategori Atlet lelaki Terbaik pada Majlis Apresiasi sempena Hari Kualiti & Inovasi 2020 di Dewan Kompleks Sukan, UMP Kampus Gambang baru-baru ini. 

Manakala bagi kategori Atlet Wanita Terbaik pula diraih Kamariah Peah dari Fakulti Teknologi Kejuruteraan Awam (FTKA). 

Beliau membawa pulang wang tunai sebanyak RM 1,000.00, trofi dan sijil penghargaan.

Hadiah disampaikan oleh Pengerusi Universiti Malaysia Pahang (UMP), Dato’ Sri Ibrahin Ahmad. 

Turut hadir Naib Canselor UMP, Profesor Ir. Dr. Wan Azhar Wan Yusof.

Syahir yang merupakan Pembantu Belia dan Sukan, Pusat Sukan dan Kebudayaan itu dipilih apabila berjaya mengharumkan nama UMP dengan mewakili negeri Pahang dalam Kejohanan Tenpin Boling Majlis Kebajikan dan Sukan Anggota-Anggota Kerajaan (MAKSAK) Malaysia 2019. 

Sebelum ini juga Syahir pernah meraih pingat perak dalam kategori individu dan berpasukan dalam Kejohanan Tenpin Boling IPT Pantai Timur.

Beliau turut meraih pingat gangsa bagi kategori Individu dalam Kejohanan Tenpin Boling Piala Pengarah JKN Pahang 2019 serta pingat emas dalam Kejohanan Tenpin Boling Antara Jabatan UMP 2019. 

Selain itu, beliau juga pernah menjadi penyelaras Sukan Tenpin Boling UMP semasa Karnival MASUM 2019

Beliau yang tidak meyangka akan menerima penganugerahan turut mengucapkan terima kasih kepada UMP. 

“Saya amat gembira memenangi anugerah ini. Kejayaan ini juga ingin saya kongsikan dengan  kedua ibu bapa saya yang sentiasa menyokong dan berkorban sejak saya kecil lagi,” katanya.

“Semoga kejayaan ini dapat membakar semangat saya untuk terus berjuang dalam tenpin boling dan masih diberi peluang untuk mewakili Pahang dalam Kejohanan Tenpin Boling MAKSAK 2020 akan datang,” ujarnya. 

Lebih membanggakan beliau apabila pasukannya juga diumumkan sebagai pemenang Kategori Pasukan Lelaki Terbaik melalui acara sukan Tenpin Boling. 

Anugerah pasukan Wanita Terbaik dimenangi pasukan acara sukan Bola Tampar. Pemenang membawa pulang wang tunai RM 2,000.00, trofi dan sijil penghargaan.

Sementara itu, bagi Kamariah, beliau telah mengharumkan universiti dengan mewakili Pahang dalam kejohanan Bola Tampar MAKSAK Malaysia 2019. 

Pada masa yang sama beliau turut memenangi pingat emas dalam Kejohanan Bola Tampar PraMaksak (Wanita) Negeri Pahang 2019 dan beberapa kejohanan lain lagi.

Anugerah Sukan ini merupakan salah satu anugerah yang diberikan kepada staf sebagai penghargaan sumbangan yang diberikan oleh para atlet UMP yang telah mengharumkan nama universiti di samping sebagai pemangkin terhadap aktiviti sukan dan rekreasi di universiti ini.

Disediakan Oleh: Nor Salwana Mohd Idris, Unit Perhubungan Awam, Pejabat Naib Canselor (PNC)

Reports by:
Nor Salwana bt Hj Mohammad Idris