Skip to main content

26 Pegawai Kadet UMP ditauliah Leftenan Muda

BANGI, 27 Januari 2022- Pengorbanan masa sepanjang tiga tahun menjalani latihan di dalam Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) berbaloi apabila seramai 26 orang Pegawai Kadet, Universiti Malaysia Pahang (UMP) ambilan siri kedua berjaya ditauliahkan sebagai Leftenan Muda dalam Pasukan Simpanan Tentera Darat.  

Majlis Lafaz Pengisytiharan Pentauliahan dan Pemakaian Pangkat Pegawai Muda Sukarela PALAPES Darat Universiti Awam Ke-39 Zon Tengah 1 telah disempurnakan oleh Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Datuk Zamrose Mohd Zain di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) baru-baru ini.

Pentauliahan tersebut melibatkan seramai 254 orang pegawai kadet dari Universiti Awam (UA) zon tengah 1 yang terdiri daripada UKM selaku tuan rumah. 

Lain-lain adalah Universiti Malaya (UM), Universiti Teknologi MARA (UiTM), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dan Universiti Malaysia Pahang (UMP).

Dalam pentauliahan ini, Leftenan Muda Muhammad Rusyaidi Azmi yang juga lulusan Sarjana Muda Kejuruteraan Mekanikal Automotif diumum sebagai pegawai kadet terbaik UMP.

Bagi Leftenan Muda Muhammad Rusyaidi, anugerah ini merupakan satu penghargaan yang cukup bermakna bagi dirinya. 

Beliau yang tidak menyangka dengan penganugerahan tersebut berhasrat akan meneruskan penglibatan dalam pasukan Askar Wataniah walaupun sudah bekerja suatu hari kelak.

Katanya, penglibatan dalam PALAPES menjadikan seseorang itu lebih berdisiplin dalam menguruskan masa antara pelajaran dan latihan ketenteraan yang diadakan pada cuti hujung minggu cuti semester.

Selain itu, Leftenan Muda Muhammad Rusyaidi turut mengajak para mahasiswa untuk menyertai PALAPES bagi menimba banyak ilmu dan pengalaman yang dapat dimanfaatkan bukan sahaja untuk diri malahan untuk keluarga dan meyumbang buat masyarakat.

Turut sama hadir Leftenan Kolonel (Kehormat) PSSTUDM, Profesor Dato’ Ts. Dr. Mohd Rosli Yunus dan Timbalan Komandan PALAPES UMP, Kapten Mohd Azam Muhamad Akhir.
 

Disediakan oleh: Mohd Azam Muhamad Akhir, Pusat Sains Kemanusiaan (PSK)

Reports by:
Admin UMP News