Skip to main content

Pelajar kembali ke kampus UMP berjalan lancar patuhi SOP

KUANTAN, 6 Mac 2021 - Proses kembali ke kampus bagi pelajar Universiti Malaysia Pahang (UMP) pada 6 dan 7 Mac berjalan lancar apabila semua pelajar mengikut prosedur operasi standard (SOP) setelah diberi kebenaran untuk kembali ke kampus secara fizikal.
Mereka ini merupakan antara kumpulan pelajar yang akan menjalani aktiviti melibatkan kerja praktikal, makmal, latihan amali, bengkel dan peralatan khas membabitkan enam kategori yang dibenarkan berdasarkan pengumuman pihak Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) baru-baru ini.
Menurut Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Profesor Dato’ Dr. Yuserrie Zainuddin yang juga Pengerusi Task Force Pengurusan Pelajar (Norma Baharu), dijangkakan seramai 4,070 pelajar terlibat dibenarkan masuk kampus secara berjadual pada 6 dan 7 Mac, 13 dan 14 Mac, dan 20 dan 21 Mac 2021.
“UMP juga mempertimbangkan pelajar yang tidak mempunyai akses internet dan yang tidak mempunyai persekitaran pembelajaran yang kondusif bagi menjalani aktiviti pengajaran dan pembelajaran (PdP) dalam talian (online) untuk kembali ke kampus secara fizikal,” katanya.
Pihaknya turut mengenal pasti bantuan perkhidmatan bas bagi pelajar yang berkeperluan termasuk kepada semua pelajar Borneo dan pelajar antarabangsa dari destinasi Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke UMP yang disediakan dengan kerjasama Yayasan UMP.
Beliau menghargai komitmen para petugas keselamatan dan kesihatan daripada Pusat Kesihatan UMP (PKU), Bahagian Keselamatan, Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Jabatan Hal Ehwal Akademik dan Antarabangsa, Pejabat Naib Canselor dan pihak Yayasan UMP.
Simulasi dan persiapan telah dilaksanakan sejak sebulan lalu bagi memastikan semua urusan berjalan lancar demi memastikan kampus sentiasa selamat dan bebas daripada penularan COVID-19.
Dalam pada itu, Dekan Perkhidmatan Pelajar, Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (JHEPA), Profesor Madya Dr. Mansor Sulaiman berkata, kehadiran pelajar ini menuntut semua untuk lebih berwaspada bagi memastikan kampus UMP bebas daripada ancaman pandemik COVID-19.
“Kami ingin menasihatkan agar pelajar mematuhi slot masa yang telah ditetapkan agar tidak mengganggu proses kemasukan yang telah disusun.
“Dalam pada itu, hanya pelajar yang berdaftar sahaja dibenarkan kembali ke kampus,” ujarnya yang turut menasihatkan pelajar yang akan kembali pada sesi akan datang agar dapat mematuhi peraturan yang ditetapkan.
Pihaknya mendapat kerjasama daripada barisan hadapan UMP, sukarelawan staf dan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) dalam bergerak bersama bagi memudah cara urusan-urusan berkaitan kesejahteraan kampus, kebajikan mahasiswa, pematuhan SOP dan sebagainya.
UMP turut menubuhkan Jawatankuasa Pemantau Isolasi bagi memastikan pematuhan terhadap SOP sepanjang tempoh isolasi.
Semua pelajar dimestikan menjalani saringan kesihatan di Pusat Kesihatan Universiti (PKU) mengikut kategori tahap kesihatan bagi tujuan pemantauan dalam tempoh isolasi selama 10 hari di residen pelajar yang telah ditetapkan.
Pihak Jawatankuasa Task Force Pengurusan Pelajar (Norma Baharu) juga telah menghasilkan buku Garis Panduan Kemasukan Pelajar Ke Kampus bagi rujukan pelajar dan pelbagai pihak berkaitan.
Kumpulan pelajar ini melibatkan semua pelajar Program Teknologi termasuk pelajar baharu kemasukan Februari bagi Semester II, Sesi Akademik 2020/2021, semua pelajar Program Kerjasama UMP-Universiti Jerman termasuk pelajar baharu kemasukan Februari bagi Semester II, Sesi Akademik 2020/2021), pelajar Tahun 3 Program Teknologi Kejuruteraan, pelajar Tahun 3 Program Pengurusan Teknologi Industri dan pelajar Tahun 3 Fakulti Sains dan Teknologi Industri.
Turut diarah pulang ke kampus ialah pelajar tahun akhir Kolej Kejuruteraan, pelajar tahun akhir (Tahun 2, Sesi Akademik 2020/2021), program Diploma dan pelajar baharu antarabangsa kemasukan Sesi Akademik 2020/2021 
(kecuali dari United Kingdom).

Disediakan Oleh: Mimi Rabita Abdul Wahit, Unit Komunikasi Korporat, Pejabat Naib Canselor (PNC)

TAGS / KEYWORDS
Reports by:
Mimi Rabita binti Abd Wahit