Skip to main content

UMP prihatin bantu bawa pelajar baharu daftar masuk kampus

BATU PAHAT, 12 Oktober 2022 - Pelajar baharu Universiti Malaysia Pahang (UMP), Putera Amirul Hakim Mohd Ali yang berasal dari Batu Pahat, Johor tidak menyangka beliau akan terpilih menerima Insentif Pendidikan Yayasan UMP sebanyak RM1,000 bagi meringankan beban beliau pada awal sesi pengajian di universiti.

Malah, kehadirannya ke universiti bersama keluarga turut diuruskan pihak universiti.

Pelajar lepasan Kolej Matrikulasi Negeri Sembilan itu memilih UMP sebagai pilihan pertama dan ditawarkan mengikuti pengajian dalam bidang yang diminatinya di Fakulti Teknologi Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (FTKEE) di UMP Pekan.

Ujarnya, sumbangan dan bantuan ini amat bermakna bagi meringankan bebannya sekeluarga memandangkan ayahnya, Mohd Ali Abdul Rahim hanya bekerja sambilan di sekitar kampung dengan pendapatan yang tidak menentu.

Manakala ibunya, Maharani Muhamad pula mengusahakan sebuah warung kecil di hadapan rumah dengan dibantu oleh ayah, bersama adik perempuannya yang belajar di Tingkatan 5 dan seorang adik lelaki yang belajar di Tingkatan 3.

Ujarnya, beliau bersyukur terpilih masuk ke UMP dan menyifatkan bantuan yang diberikan UMP itu jelas membuktikan keprihatinan universiti kepada pelajar dengan mengutamakan aspek kebajikan pelajar.

“Saya berasa sangat gembira dan terharu dengan bantuan yang diberikan UMP kerana bukan sekadar menyediakan kemudahan pengangkutan untuk saya sekeluarga datang ke UMP malah turut menerima manfaat Insentif Pendidikan UMP yang dapat digunakan untuk tujuan pendaftaran,” katanya.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Profesor Ts. Dr. Mohd Rusllim Mohamed berkata, pihaknya sentiasa cakna terhadap kesukaran pelajar terutamanya mereka dari keluarga B40 untuk hadir mendaftar masuk universiti.
 

UMP prihatin bantu bawa pelajar baharu daftar masuk kampus

“Terdapat juga segelintir pelajar yang berdepan masalah tiada pengangkutan sehingga terpaksa menyewa atau meminjam kenderaan.

“Yayasan UMP akan membantu pelajar yang berkeperluan dan Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (JHEPA) sentiasa mengambil berat terhadap permasalahan pelajar,” katanya.

UMP prihatin bantu bawa pelajar baharu daftar masuk kampus

Seramai 300 orang pelajar baharu menerima manfaat apabila menerima sumbangan Insentif Pendidikan dan Insentif Kecemerlangan Yayasan UMP.

Selain itu, Sukarelawan UMP dan petugas daripada Yayasan UMP serta JHEPA turut membantu menguruskan pengangkutan pelajar sekitar Machang, Kota Bahru, Tasik Gelugor dan Muadzam Shah untuk masuk ke universiti.

Seramai 1,459 orang pelajar baharu mendaftar bagi sesi ambilan kali ini.

Daripada jumlah tersebut, seramai 990 orang pelajar mengikuti pengajian di UMP Kampus Gambang manakala seramai 449 orang di UMP Pekan.

Disediakan oleh: Mimi Rabita Abdul Wahit Bahagian Komunikasi Korporat, Jabatan Canseleri 

TAGS / KEYWORDS
Reports by:
Mimi Rabita binti Abd Wahit