Skip to main content

Peluang tambah kemahiran dalam bidang pembangunan rel

KUANTAN, 6 April 2021 - Pemilihan Universiti Malaysia Pahang (UMP) sebagai pusat latihan Tester Training Module dalam Program Latihan Kemahiran Industri (PLKI ECRL) memberi peluang buat UMP menyumbang terhadap pembinaan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang merupakan projek berprofil tinggi.

Berlangsung baru-baru ini, majlis penyerahan dokumen kerjasama yang disampaikan oleh Pengurus Kanan, Malaysia Rail Link Sdn. Bhd. (MRL), Tariq Umar Mohamed dan Penolong Pengurus Sumber Manusia, China Communications Construction Company (M) Sdn. Bhd. (CCCC), Lee Foong Mei.

Hadir bertukar dokumen ialah Dekan Inovasi Industri, Jabatan Penyelidikan dan Inovasi UMP, Profesor Madya Dr. Abdul Adam Abdullah.

Turut sama hadir Pengarah Pusat Reka Bentuk dan Inovasi Teknologi (PRInT) dan Pensyarah Kolej Kejuruteraan, Dr. Doh Shu Ing.

Menurut Profesor Madya Dr. Abdul Adam, pihak pengurusan UMP mengucapkan ribuan terima kasih kepada pihak MRL dan CCCC kerana memilih UMP sebagai pengendali latihan kemahiran ini .

“Kerjasama dengan pihak MRL dan CCCC ini dapat memberi nilai tambah kepada seluruh warga universiti dan juga masyarakat setempat terutamanya di negeri Pahang Darul Makmur.

“Dengan penawaran program latihan industri ini, komuniti dan masyarakat khususnya golongan muda di sekitar Pantai Timur dapat merebut peluang pekerjaan selain menimba ilmu kemahiran dapat bidang pembangunan rel ini.
“Selain itu, program latihan industri yang bermula awal bulan ini melibatkan kepakaran pensyarah dan menggunakan makmal dan bilik kuliah di Fakulti Teknologi Kejuruteraan Awam (FTKA) dan Kolej Kejuruteraan,” katanya.
Program turut melibatkan guru bahasa daripada Institut Konfusius yang membantu dalam pengajaran dan pembelajaran bahasa Mandarin kepada peserta sebagai persiapan bakal teknokrat ECRL dengan kemahiran komunikasi dan kefasihan berbahasa Mandarin.
Pihaknya mengharapkan agar lebih banyak peluang dapat diterokai dan jaringan strategik ini juga dapat diteruskan dengan mempelbagaikan lagi modul-modul berkaitan agar selaras dengan Pelan Strategik UMP 2021-2025 terutamanya sasaran peningkatan terhadap bilangan pekerja industri yang mengikuti latihan industri di UMP.
Manakala Tariq Umar Mohamed pula berkata, seramai 32 orang pelatih telah berjaya terpilih untuk mengikuti sesi latihan ini selama dua bulan iaitu sebulan di UMP dan sebulan di tapak pembangunan ECRL.

Pihaknya mengharapkan agar lebih ramai pelatih akan mengikuti program PLKI 2.0 ini dan menggalakkan rakyat tempatan untuk sama-sama menyertai dalam menjayakan projek ini.

Pada tahun ini pihaknya bakal melantik seramai 500 orang pelatih menyertai program ini dan sehingga kini, ia merupakan ambilan kedua selepas ambilan pertama di Bachok, Kelantan.

Bagi yang berminat nantikan pengumuman semasa daripada pihak MRL dan MCCC.

Bagi peserta program, Nur Faizatul Syuhada Mohd Zahari yang merupakan alumni Fakulti Teknologi Kejuruteraan Awam (FTKA) berkata, beliau bersyukur dengan tawaran yang diterima memandangkan sekian lama berhasrat untuk turut serta dalam program ini.

“Semoga segala ilmu dan pengalaman ini melayakkan saya untuk ditawarkan bekerja dalam bidang berkaitan,” katanya.

Projek East Coast Rail Link (ECRL) melibatkan jajaran keretapi yang menghubungkan Pelabuhan Klang di Pantai Barat dengan negeri-negeri di Pantai Timur iaitu Pahang, Terengganu dan Kelantan.

Projek ini merupakan usaha sama antara Malaysia Rail Link (MRLSB) dengan China Communications Construction Company (CCCC) dan diselia oleh Kementerian Pengangkutan Malaysia.

 

Disediakan Oleh: Nor Salwana Mohd. Idris, Unit Komunikasi Korporat, Pejabat Naib Canselor (PNC)

 

Reports by:
Nor Salwana bt Hj Mohammad Idris