Skip to main content

Potensi Teknologi Blockchain dalam industri halal

KUANTAN, 28 Julai 2021 – Pusat Jaringan Industri dan Masyarakat (PJIM), Universiti Malaysia Pahang (UMP) bersama Persatuan Alumni Jerman Malaysia (GAAM), Blockworq Sdn. Bhd. dan Akademi Maishince telah menganjurkan Forum Webinar Siri Bicara Profesional Siri 2 bertajuk ‘Fakta, Dongeng dan Potensi Teknologi Blockchain dalam Industri Halal’ bagi merungkai salah faham yang menyelubungi isu penggunaan teknologi blok rantai (blockchain) dalam industri halal.

Para panel terdiri daripada pihak industri iaitu Pengasas dan Presiden, Crypto Valley Malaysia Association, Effendy Zulkifly yang merupakan seorang yang sangat berpengalaman dalam industri halal blok rantai.

Turut sama ialah wakil akademik iaitu Timbalan Presiden, Pertubuhan Pakar Logistik Malaysia dan Pensyarah Fakulti Pengurusan Industri (FPI) UMP, Profesor Madya Dr. Yudi Fernando.

Forum itu bertambah menarik dengan kehadiran ilmuwan yang semakin terkenal iaitu Ketua Pegawai Eksekutif, Founders Circle Advertising Sdn. Bhd. dan pemenang tempat kedua dalam program realiti televisyen Pencetus Ummah (PU) anjuran Astro Oasis pada tahun 2015, Dr. Taha Omar.

Pasaran produk halal di peringkat global semakin menunjukkan peningkatan yang memberangsangkan selari dengan meningkatnya jumlah umat Islam di dunia iaitu sebanyak 1.83 bilion pada tahun 2009.

Peningkatan jumlah ini turut menyebabkan peningkatan permintaan terhadap produk halal seperti makanan, kosmetik, perubatan dan bahan gunaan.

Namun demikian, sejak tahun lalu beberapa isu yang timbul berkaitan pensijilan halal ini antaranya adalah status halal produk makanan seperti daging sejuk beku import dari luar negara.

Menurut Profesor Madya Dr. Yudi, kepentingan ketelusan dalam rantaian pembekalan produk halal bukan sekadar menekankan isu halal tetapi juga toyib (bersih).

“Dengan merujuk kajian Gartner Inc., sebuah institusi kajian antarabangsa, pada tahun 2030 pertambahan perniagaan yang berkaitan dengan blok rantai akan mencecah USD3.1 trilion.

“Malahan banyak syarikat besar yang telah menggunakan teknologi blok rantai dalam bidang penyelidikan dan operasi mereka,” katanya.

Selain itu, sambil berkongsi bacaan nas al-Quran daripada surah an-Nisaa’ ayat 21, Dr. Taha Omar menerangkan tentang blok rantai sebagai aset digital yang boleh menjadi unsur penting ke arah mewujudkan keadilan dalam rangkaian pembekalan jika digunakan mengikut norma yang betul.

Di Malaysia terdapat beberapa syarikat besar yang mula menggunakan teknologi blok rantai dalam operasi mereka seperti Air Asia dan DHL.

Manakala Effendy Zulkifli pula mengupas isu yang dibangkitkan berkaitan pensijilan halal merangkumi rantaian proses sesuatu produk termasuk pengurusan sumber, penyembelihan, kawalan kualiti, kebersihan, penyimpanan dan penghantaran yang telah menimbulkan keraguan pengeluar, pengusaha dan pengguna.

Beliau juga turut menyentuh berkenaan potensi teknologi blok rantai dalam industri halal di seluruh dunia dan bagaimana teknologi ini mampu memberikan keyakinan kepada pengeluar, pengusaha dan pengguna berkenaan status halal produk.

Beliau turut berkongsi dapatan ketika menjadi perunding bagi Rangkaian Blockchain Halal (HBN) untuk sebuah syarikat tempatan.

Hasil libat sama ini menunjukkan potensi teknologi blok rantai sebagai struktur asas yang mampan untuk digunakan lebih daripada sekadar produk.

Dalam pada itu, Pengurus Besar, Maishince Capital dan pengasas bersama Akademi Maishince, Ahmad Bukhari Roslan berkata, pihaknya telah mengambil langkah proaktif dengan mengadakan kerjasama dengan UMP dalam penyediaan modul dan tenaga pengajar Professional Diploma in Blockchain Engineering yang merupakan diploma dalam bidang kejuruteraan blok rantai yang pertama di Malaysia.

Kumpulan pertama pelajar seramai 22 orang telah memulakan pengajian mereka pada 17 Julai 2021.

Beliau mengharapkan melalui kerjasama ini dapat menyediakan tenaga kerja dan pakar dalam bidang blok rantai ini agar Malaysia juga tidak ketinggalan dalam bidang teknologi ini.

Forum ini dirasmikan oleh Penolong Naib Canselor (Jabatan Pembangunan Graduan), Profesor Madya Ir. Dr. Nurul Hazlina Noordin.

Beliau mengharapkan agar forum yang dianjurkan ini dapat memberikan manfaat kepada semua pihak yang terlibat dan UMP dapat memainkan peranannya sebagai pusat ilmiah yang mendidik masyarakat dalam menyampaikan ilmu dan memperkenalkan teknologi ilmu yang berkualiti.

Malah, penganjuran forum webinar ini juga dapat merungkai berkenaan proses rantaian dan teknologi blok rantai dalam membantu mengatasi masalah pensijilan dalam industri halal terutamanya berkaitan industri makanan.

Forum ini telah mendapat sambutan yang amat menggalakkan apabila ditonton oleh lebih 1,000 orang sepanjang program berlangsung dengan menampilkan Razin Hafiz sebagai moderator.

Disediakan oleh: Halizan Mohmood, Pusat Jaringan Industri dan Masyarakat

TAGS / KEYWORDS
Reports by:
Admin UMP News