Skip to main content

UMP, AspenTech bangunkan Program Kompetensi Akademia-Industri

KUANTAN, 25 Julai 2022 - Universiti Malaysia Pahang (UMP) dan Aspen Technology (AspenTech) memperluaskan kerjasama universiti dan industri dalam bidang akademik, penyelidikan, jaringan industri serta komuniti hasil termeterainya Memorandum Perjanjian (MoA) yang terjalin kedua-dua pihak pada 1 November 2021.

Berlangsung baru-baru ini, Program Pembangunan Kompetensi AspenTech yang diadakan selama lima hari dalam meningkatkan kecekapan pensyarah dan kebolehpasaran pelajar menggunakan teknologi terkini dalam industri pemprosesan kimia, minyak dan gas.

Program dihadiri Penolong Naib Canselor, Jabatan Kolaborasi Industri dan Masyarakat (JKIM), Profesor Madya Ir. Dr. Nurul Hazlina Noordin dan Pengarah Bahagian Khidmat Sokongan dan Latihan AspenTech, Rocky Liu.  

Menurut Profesor Madya Ir. Dr. Nurul Hazlina, kerjasama ini memberi tumpuan kepada tiga bidang utama iaitu program peningkatan kompetensi dan pembangunan pelajar, program reskilling dan upskilling staf dan pembangunan program eksekutif.

“Aktiviti-aktiviti yang dijalankan bakal memberi memanfaatkan kepada masyarakat dan komuniti melalui penghasilan produk termaju, penyelesaian masalah perindustrian yang kompleks, memacu pertumbuhan ekonomi dan mewujudkan tenaga kerja yang lebih mahir.

“Inisiatif ini selaras dengan agenda Pelan Strategik UMP 2021-2025 iaitu Keunggulan TVET Aras Tinggi dan Inovasi dengan Kolaborasi Industri Mengupayakan Kebolehan Teknikal UMP-Industri. 

“Program pertama diadakan pada 28 Februari hingga 4 Mac 2022 dimulai dengan empat hari sesi latihan yang dikendalikan sepenuhnya oleh pihak AspenTech dan kemuncaknya ialah peperiksaan pensijilan yang berlangsung selama empat jam,” ujarnya. 

Kerjasama strategik seumpama ini turut membuka ruang kepada inisiatif yang lebih besar bagi membolehkan UMP memainkan peranan penting melahirkan tenaga kerja profesional yang mahir dan berkualiti. 

Dalam masa yang sama untuk mengembang dan meningkatkan kualiti kurikulum bagi memenuhi keperluan industri yang sentiasa dinamik.  

Seramai 25 peserta terdiri daripada staf dan pelajar UMP telah berjaya menyempurnakan program latihan ini dengan baik. 

Menerusi program ini, seramai 17 orang peserta atau 68 peratus telah lulus dan diiktiraf sebagai Aspen Plus Certified User.  

Hadir sama dalam program ini, Dekan Fakulti Teknologi Kejuruteraan Kimia dan Proses (FTKKP), Profesor Ts. Dr. Che Ku Mohammad Faizal Che Ku Yahya yang hadir bagi menyampaikan sijil program.

Disediakan oleh: Siti Nur Azwin Zulkapri, Bahagian Komunikasi Korporat, Jabatan Canseleri

TAGS / KEYWORDS
Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri