Skip to main content

UMP jalin kerjasama dengan 3 industri tingkatkan daya saing graduan

KUALA LUMPUR, 26 Jun 2022 - Kolaborasi Universiti Malaysia Pahang (UMP) dengan tiga industri melibatkan Celcom AXIATA Berhad, Gebeng Glove Industries Sdn. Bhd. dan Akar Indah Engineering Sdn. Bhd. memfokuskan bidang berkaitan keusahawanan, pembangunan modal insan dan pembangunan penyelidikan bakal meningkatkan kebolehpasaran graduan masa depan. 
 
Kerjasama universiti-industri itu membabitkan UMP dan Celcom AXIATA Berhad yang bakal memperlihatkan pembangunan modul, literasi digital dan pelaksanaan program keusahawanan dalam kalangan graduan UMP. 

Manakala hasil kerjasama UMP bersama pihak Gebeng Glove Industries Sdn. Bhd. pula akan merancakkan aktiviti konsultansi, penyelidikan dan pembangunan berkaitan industri getah dan polimer di Malaysia.
 
Selain itu, jaringan kerjasama antara UMP dan Akar Indah Engineering Sdn. Bhd. bakal menyaksikan kolaborasi kedua-dua pihak bagi memanfaatkan aktiviti konsultansi, pembangunan modal insan, penyelidikan dan pembangunan berkaitan teknologi digital serta industri pembuatan.

UMP jalin kerjasama dengan 3 industri tingkatkan daya saing graduan

Majlis menyaksikan Naib Canselor UMP, Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrie Zainuddin bertukar dokumen dengan Pengarah Eksekutif Gebeng Glove Industries Sdn. Bhd., Nuryus Ezuwan Mokhtar. 

Pihak Celcom AXIATA Bhd. pula diwakili Ketua Tanggungjawab Korporat dan Perhubungan Kerajaan, Areehan Haji Abdullah dan Akar Indah Engineering Sdn. Bhd. diwakili Pengarah Urusannya, Mohd Yuzairin Md Yunus.
 
Dalam ucapannya, Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrie percaya dengan kepakaran dan teknologi kerjasama ini akan meningkatkan lagi lebih banyak kejayaan program yang berimpak tinggi dan membuka lebih banyak peluang dan penerokaan kepada bidang -bidang lain yang berkaitan.
 
“Saya amat menghargai komitmen yang diberikan oleh tiga rakan industri ini untuk terus menjadikan UMP sebagai rakan kerjasama dalam memacu kecemerlangan dan keperluan strategik bersama.
 
“Kerjasama yang dirintis ini merupakan platform pemadanan yang amat berkesan bagi melancarkan inisiatif kolaborasi dengan industri yang memberi pulangan manfaat kepada semua pihak, “ katanya dalam majlis yang berlangsung di Hotel Royal Chulan Damansara baru-baru ini.
 
Menurut Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrie, kolaborasi bersama industri ini merupakan antara inisiatif Pelan Strategik UMP 2021-2025 dalam meneroka kerjasama industri dan penerokaan teknologi merimpak tinggi. UMP yang merupakan sebuah universiti teknologi dan kejuruteraan akan terus komited menjadi sebuah universiti yang berinovatif dan berdaya saing di peringkat global. 
 
Turut sama hadir Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UMP, Profesor Ts. Dr. Kamal Zuhairi Zamli, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Profesor Ts. Dr. Mohd Rosli Hainin dan Penolong Naib Canselor Bahagian Kolaborasi Industri dan Masyarakat, Profesor Madya Ir. Dr. Nurul Hazlina Noordin.

Disediakan oleh: Mimi Rabita Abdul Wahit, Bahagian Komunikasi Korporat, Jabatan Canseleri. 

Reports by:
Mimi Rabita binti Abd Wahit