Skip to main content

Wakil industri-akademia berkumpul dalam Perbincangan Meja Bulat (RTD) ke arah TVET aras tinggi

KUALA LUMPUR, 27 Februari 2023 - Penganjuran Perbincangan Meja Bulat (RTD) mengenai akademia-industri memberi peluang lebih 40 wakil industri membincangkan hala tuju program TVET aras tinggi bagi memenuhi keperluan negara.

RTD yang dianjurkan menerusi Institut Pengajian Siswazah (IPS) dengan kerjasama Bahagian Kolaborasi Industri dan Masyarakat (BKIM), Universiti Malaysia Pahang (UMP) itu bertujuan untuk membincang dan mendapat penyelesaian dalam pelbagai aspek bagi menjayakan agenda negara bagi meningkatkan tenaga pakar peringkat siswazah di dalam negara seiring dengan Pelan Strategik UMP 2021-2025 (PS25).

Program dirasmikan Pengarah Bahagian Kolaborasi Industri dan Masyarakat Jabatan Pendidikan Tinggi, Dato’ Mohd Sharil Abdullah. 

Hadir sama Naib Canselor UMP, Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrie Zainuddin dan Dekan Institut Pengajian Siswazah (IPS), Profesor Datin Ts. Dr. Mimi Sakinah Abdul Munaim selaku Pengerusi Perbincangan Meja Bulat (RTD) Academia-Industri. 

Wakil industri-akademia berkumpul dalam Perbincangan Meja Bulat (RTD) ke arah TVET aras tinggi

Menurut Dato’ Mohd Sharil, pihaknya berbangga dengan keterlibatan lebih 40 wakil industri dan akademia daripada empat universiti MTUN iaitu UMP, Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) dan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP). 

“Pihak kerajaan juga telah mencadangkan agar penglibatan dan kerjasama antara pihak swasta serta syarikat berkaitan kerajaan (GLC) diperhebatkan dalam usaha memperkasakan Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET).

“Ini adalah penting untuk memenuhi keperluan industri serta menyelesaikan sebahagian masalah seperti ‘mismatch’ (salah padanan) atau pun latihan yang tidak begitu relevan untuk industri,” katanya ketika berucap merasmikan program yang berlangsung di Hotel Tenera Bangi. 

Dalam pada itu, pihaknya turut mengharapkan program sebegini dipergiat dan segala informasi yang telah dikumpul serta digarapkan melalui resolusi pada hari ini dapat dimanfaatkan sebaiknya sekali gus mengukuhkan peranan pihak akademik, industri dan kementerian dalam memperkasakan TVET di Malaysia.

Tambahnya, penyertaan kumpulan sasaran ini akan membuka ruang interaksi antara akademia bersama pembuat dasar dan juga industri, berkenaan keperluan pelaksanaan program pascasiswazah TVET aras tinggi pada masa depan. 

Sementara itu, Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrie berkata, hasil perbincangan yang diterima akan digunakan bagi memperkasakan kandungan kurikulum dan memantapkan strategi penawaran kursus pascasiswazah TVET aras tinggi.

Ujar beliau, program RTD merupakan saluran penting bagi pelbagai agensi awam dan swasta berbincang dalam menghasilkan beberapa resolusi yang boleh dijadikan panduan.

Wakil industri-akademia berkumpul dalam Perbincangan Meja Bulat (RTD) ke arah TVET aras tinggi

“Hasil resolusi ini dijadikan sebagai panduan dalam pembentukan dasar-dasar pada masa akan datang agar bersesuaian dengan keperluan dan perubahan dalam kehidupan masyarakat sejagat.

“Secara tidak langsung, perbincangan ini juga akan membolehkan penawaran program pascasiswazah berpusat kepada kehendak industri (industry driven curriculum),” katanya. 

Antara isu lain yang turut dibincangkan adalah usaha dan cabaran Rangkaian Universiti Teknikal Malaysia (MTUN) dalam merealisasikan hubungan Universiti–Industri, peranan industri dalam menyokong usaha pemerkasaan TVET dan kebolehpasaran graduan TVET Aras Tinggi. 

Beliau turut tampil sebagai panel forum bertajuk ‘Transformasi Industri Malaysia Melalui TVET Aras Tinggi’ bersama dua panel lain, Timbalan Presiden Kanan, Electromobility, Yinson Holdings Berhad, Ruslin Tamsir dan Ketua Sektor Industry Partnership Talent Corp, Nazliyah Mohd Ali.

Manakala Timbalan Naib Canselor, (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) yang menjalankan Fungsi Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Profesor Ts. Dr. Mohd Rusllim Mohamed bertindak sebagai moderator. 

Hadir sama dalam program Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Profesor Ts. Dr. Azme Khamis, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), Profesor Ts. Dr. Ghazali Omar dan Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Profesor Dr. Mohd Yusof Mashur.

Disediakan oleh: Mimi Rabita Abdul Wahit, Bahagian Komunikasi Korporat, Jabatan Canseleri. 

TAGS / KEYWORDS
Reports by:
Mimi Rabita binti Abd Wahit