Skip to main content

Pasukan UMP- Tech cipta kejayaan dalam SEM Asia 2018

Singapura - Pencapaian mahasiswa Universiti Malaysia Pahang (UMP) daripada pasukan UMP-Tech membanggakan apabila berjaya mewakili Malaysia dalam pertandingan Shell Eco Marathon Asia 2018 (SEM) yang berlangsung di Changi Exhibition Centre, Singapura baru-baru ini.

 

Pertandingan menyaksikan kereta EV-Tech daripada pasukan UMP-Tech  berjaya melepasi sesi pemeriksaan kereta dan menghabiskan 9 pusingan litar di bawah 25 minit di litar sekaligus mendapat tempat ke-14 bagi kategori Prototype– Bateri Elektrik yang merupakan antara kategori paling kompetitif dalam kejohanan ini.

 

Menurut Ketua Pasukan UMP-Tech, Muhammad Izzat Ismail berkata, peranannya dalam mengurus pasukan memberikan pengalaman yang sangat bermakna bermula dari membentuk sukan dan menyakinkan ahli pasukannya. Seterusnya mencipta teknologi dengan mengikut kehendak dan peraturan pihak Shell sehinggalah berjaya ke peringkat saringan dan kelayakan.

 

“Cabaran paling getir adalah terhadap penyelidikan dan mengumpul data mengenai sistem kenderaan kami yang banyak dibantu pensyarah dari Fakulti Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik, Muhammad Ikram Mohd Rashid dalam membangunkan sistem. Sokongan pihak dekan fakulti, penasihat program, jurutera pengajar dan staf fakulti sangat kami hargai,” katanya.

 

Ujar Muhammad Izzat, pihaknya berharap pasukan UMP-Tech akan dikenali di Asia suatu masa nanti. Walaupun pertandingan sudah selesai namun pasukannya merancang beberapa akiviti termasuk berkongsi pengalaman dan aktiviti promosi termasuklah penjualan baju dan lain-lain bagi menarik minat mahasiswa dan pihak luar mengenai dunia permotoran.

 

Manakala bagi Muhammad Ezzat Emeer Mohd. Rizan, mahasiswa tahun 3 dari FTK yang memandu kenderaan ini berkata, sebagai pemandu pastinya memikul tanggungjawab yang besar selain perlu menyesuaikan diri dengan litar dan kenderaan serta mengenalpasti selekoh agar kenderaan yang dipandunya dapat bergerak mencapai sasaran.

 

Dalam pada itu, penasihat pasukan UMP Tech, Dr. Abdul Nasir Abd Ghafar dari Fakulti Teknologi Kejuruteraan (FTek), pencapaian ini sememangnya di luar jangkaan memandangkan peserta tiada pengalaman dan merupakan penyertaan sulung bagi pasukan UMP-Tech dalam SEM Asia 2018.

 

“Pasukan ini bermula dengan penubuhan pasukan, pembangunan jentera dan sistem meliputi aspek mekanikal, eletrikal dan keselamatan yang telah ditetapkan spesifikasi oleh pihak Shell. Selain itu,pasukan ini juga diperkuatkan oleh barisan tenaga bukan teknikal yang membantu urusan dokumentasi, promosi dan penajaan,” katanya. 

Beliau berharap, pencapaian kali ini mampu menjadi titik tolak kejayaan pasukan UMP di kejohanan bertaraf peringkat Asia pada masa akan datang. Selain itu, pertandingan ini diharapkan menjadi pencetus inspirasi seluruh mahasiswa UMP khususnya yang menceburi bidang kejuruteraan dan teknologi dalam membangunkan jentera elektrik terbaik pada masa akan depan.

 

Setiap pasukan harus melepasi tiga peringkat saringan awal sebelum sesi pemeriksaan di litar dan layak untuk berlumba di atas litar. Selain diiktiraf sebagai pasukan ke 14 terbaik keseluruhan Asia bagi kategori Prototype- Bateri Elektrik, pasukan UMP-Tech turut menerima pengiktirafan sebagai pasukan ke- 9 terpantas keseluruhan pasukan Asia pelbagai kategori dalam sesi pemeriksaan kereta.

 

Bersama pasukan UMP yang mewakili Malaysia adalah pasukan daripada Monash University Malaysia, Multimedia University Kampus Melaka, Universiti Malaya (UM), Universiti Teknologi Mara (UiTM), dan Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR) yang menyaksikan sebanyak 120 pasukan daripada 18 negara Asia merebut kejuaraan dalam enam kategori yang dipertandingkan.

Reports by:
Nur Laila binti Afandi