Skip to main content

Kolaborasi strategik UMP dan Seeloz dalam pembangunan Teknologi AI

PEKAN, 25 Mac 2022 - Teknologi AI (Artificial Intelligence) adalah teknologi terkini yang amat penting dalam membantu meningkatkan kecekapan rantai bekalan dan pengeluaran sejajar dengan idea pelaksanaan Revolusi Industri Keempat (IR4.0). 

Sebagai peneraju utama bagi Automasi Rantaian Bekalan dalam teknologi AI, Seeloz (M) Sdn. Bhd. merupakan anak syarikat Seeloz Inc. yang diasaskan bersama Dr. Mohamed Aly, Amir A.Razelan dan Mohd Emran Ibrahim. 

Amir A.Razelan dan Mohd Emran Ibrahim merupakan anak tempatan Malaysia yang mencipta nama dalam dunia AI di peringkat antarabangsa.
 
Memanfaatkan AI dan Automasi, Seeloz memperkenalkan Supply Chain Automation Suites (SCAS) iaitu satu Perancangan Keperluan Autonomi (ARP) pertama di dunia untuk menguruskan rantaian bekalan yang kompleks dan luas. 

Universiti Malaysia Pahang (UMP) bakal mempunyai pusat strategik yang menumpukan program penyelidikan dan pembangunan (R&D) dalam teknologi AI dan akan membangunkan Seeloz AI House hasil kerjasama antara UMP dan Seeloz baru-baru ini.
 
Memorandum Persefahaman (MoU) yang dimeterai ini membolehkan kedua-dua belah pihak untuk bekerjasama dalam bidang AI dan teknologi serta memperkukuhkan pembangunan akademik yang menumpukan bidang teknologi AI dalam industri rantaian bekalan.

Menurut Ketua Pegawai Operasi Seeloz, Azman M. Ali, kolaborasi ini adalah satu peluang terbaik kerana UMP mempunyai rekod-rekod yang membanggakan dalam pendidikan selain mempunyai ramai pakar dalam bidang teknologi. 

“Kerjasama ini disambut baik pihak Seeloz demi pembangunan modal insan serta dapat merangsang pertumbuhan ekonomi Malaysia.

“Pihak Seeloz komited dalam berkongsi kepakaran, kajian kes dan pengalaman berkaitan teknologi AI yang dapat digunakan dan dimanfaatkan dalam industri. 

“Kerjasama ini memfokuskan pelajar UMP terutama dalam bidang Sains Komputer, Kejuruteraan Elektronik dan Pengurusan Industri melatih mereka menjadi graduan yang berkemahiran tinggi dan menepati kriteria dan piawaian industri,” katanya.

Selain itu katanya, pelajar UMP juga diberi peluang menyertai latihan industri bersama Seeloz dan ini akan membolehkan pelajar UMP mempunyai nilai tambah serta kebolehpasaran dalam memenuhi keperluan pekerjaan. 

“Pada masa yang sama, syarikat Seeloz juga dapat berinteraksi dengan para pensyarah UMP  secara praktikal dalam berkongsi khidmat kepakaran domain yang pelbagai, konsultasi dan pembangunan dalam membantu memberikan manfaat kepada kedua belah pihak. 

“Perkongsian ini penting dalam menghasilkan pembangunan teknologi termaju yang berkualiti.

“Saya berharap kolaborasi ini dapat memajukan pembangunan AI dengan menggunakan tenaga pakar tempatan yang berpusat di UMP dan dapat meningkatkan pengetahuan, bakat dan kemahiran serta kreativiti di dalam teknologi dan inovasi terkini,’ ujarnya.

Dalam pada itu, Naib Canselor UMP, Profesor Dato’ Ts. Dr Yuserrie Zainuddin berkata, UMP menjalinkan kerjasama strategik dengan industri bagi memantapkan jaringan dalam pelbagai bidang terutamanya akademik, penyelidikan, inovasi dan pembangunan sumber manusia yang bakal dimanfaatkan kedua-dua pihak. 

“Ia adalah seiring dengan Pelan Strategik UMP 2021-2025 dengan slogan ‘Teknologi untuk Masyarakat’.

“Selain Pusat Kecemerlangan AI (CoE), kerjasama ini turut memberi peluang kerjasama dalam latihan, pendidikan, pembangunan dan penyelidikan. 

“Antara program yang bakal dilaksanakan adalah latihan reskilling dan upskilling yang memerlukan penglibatan pensyarah, pelajar dan pihak industri,” ujar beliau.

Sementara itu, Mohd Emran Ibrahim, selaku Pengarah Eksekutif Seeloz juga merancang untuk mengadakan program-program latihan yang berkaitan dengan sistem rantaian bekalan dan teknologi kecerdasan buatan (Artificial Intelligence-AI). 

“Dengan adanya program ini juga ia mampu memberikan nilai tambah, daya saing dan berdaya maju dalam menjadikan kualiti pendidikan Malaysia antara terbaik di dunia,” katanya. 

Disediakan oleh: Mimi Rabita Abdul Wahit, Unit Komunikasi Korporat, Pejabat Naib Canselor (PNC)

TAGS / KEYWORDS
Reports by:
Mimi Rabita binti Abd Wahit