Skip to main content

Kolaborasi UMP, Abyres dalam Program 2u2i

PEKAN, 3 Mac 2021 – Seiring dengan transformasi digital dalam Revolusi Perindustrian (IR 4.0) bagi melahirkan graduan yang mahir dan holistik, Universiti Malaysia Pahang (UMP) telah menjalinkan kerjasama strategik dengan rakan industrinya iaitu Abyres Enterprise Technologies Sdn. Bhd. (Abyres) bagi penempatan latihan industri (LI) program 2u2i UMP.
Menerusi kerjasama ini, para pelajar Sarjana Muda Sains Gunaan (Kepujian) Analitik Data di Pusat Sains Matematik (PSM) berpeluang untuk mengikuti program 2u2i dengan menjalani LI menggunakan mod pembelajaran kursus berasaskan kerja (work-based-learning, WBL) di industri terpilih.
Majlis menandatangani memorandum perjanjian (MoA) yang berlangsung secara dalam talian itu diwakili oleh Naib Canselor UMP, Profesor Ir. Dr. Wan Azhar Wan Yusoff dan Dekan PSM, Profesor Dr. Mohd Zuki Salleh. 
Manakala pihak Abyres diwakili oleh Ketua Pegawai Operasi, Ts. Basheer Ali Majed dan Ketua Jurutera Pengeluarannya, Mohd Izhar Firdaus Ismail.
Hadir sama Dekan Kanan, Kolej Komputeran dan Sains Gunaan, Profesor Ts. Dr. Ruzaini Abdullah Arshah, Timbalan Dekan (Akademik dan Hal Ehwal Pelajar) PSM, Profesor Madya Dr. Mohd Sham Mohamad dan Ketua Program Analitik Data, Dr. Siti Zanariah Satari.
Dalam ucapannya, Professor Ir. Dr. Wan Azhar melahirkan rasa syukur dan berbesar hati atas komitmen yang ditunjukkan oleh pihak Abyres kerana memberikan kepercayaan kepada UMP dalam hubungan kerjasama ini sejak tahun lalu.
“Kerjasama yang dijalankan ini bakal memberi manfaat kepada seramai 28 orang pelajar kumpulan pertama program Analitik Data UMP untuk sesi pengambilan 2019/2020 dan seramai 63 orang pelajar kumpulan kedua untuk sesi pengambilan 2020/2021.
“Tambahan lagi, perkongsian pintar yang dijalinkan ini bukan sahaja terbatas kepada pertukaran ilmu dan kepakaran malahan juga memenuhi keperluan negara melalui keterlibatan universiti-industri berteraskan pengetahuan merentasi penyelidikan, pendidikan dan perkhidmatan,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi Abyres, Ts. Basheer Ali Majed turut menzahirkan rasa teruja dengan jalinan kerjasama industri-akademia yang termeterai pada hari ini.
“Kami amat berbesar hati untuk menjadi sebahagian daripada rakan strategik industri WBL bagi program Analitik Data, Pusat Sains Matematik, UMP. 
“Pelajar ini nanti akan dapat mengaplikasikan teori yang dipelajari di universiti dalam penyelesaian masalah praktikal sebenar di alam pekerjaan dan meningkatkan profil peribadi dan kebolehpasaran pada masa hadapan. 
“Justeru, kepakaran kami akan dapat membantu bakal graduan Analitik Data UMP meningkatkan keupayaan dan kebolehpasaran mereka khususnya dalam konteks kemahiran dan aplikasi Sains Data dan Analitik bagi merebut peluang perkerjaan pada masa hadapan yang lebih mencabar,” katanya.
Abyres merupakan sebuah syarikat berkaitan open sources dan open computing. 
Ia mempunyai kedudukan yang kukuh sebagai penasihat dipercayai (trusted advisor) dan rakan open source technology untuk syarikat swasta dan sektor awam di Malaysia.

Disediakan Oleh: Dr. Siti Zanariah Satari, Pusat Sains Matematik (PSM)
 

TAGS / KEYWORDS
Reports by:
Admin UMP News