Skip to main content

Tambah Ilmu Teknik Perniagaan Digital

Lebih 150 peserta menimba ilmu perniagaan digital sempena penganjuran  Seminar Ekspedisi Perniagaan Digital anjuran Universiti Malaysia Pahang (UMP) dan PUSPANITA Kebangsaan  bertempat di Dewan Bankuet UMP Pekan baru-baru ini. Mereka terdiri daripada mahasiswa, ahli Persatuan Wanita UMP (Matahari), Persatuan Pegawai Tadbir dan Ikhtisas UMP (PPTI), ahli PUSPANITA Negeri Pahang dan penjawat awam  sekitar Kuantan dan Pekan.
 

Majlis dirasmikan oleh Yang Dipertua PUSPANITA yang merupakan Ahli Lembaga Pengarah UMP, Puan Sri Dato’ Sri Rohani Abdullah. Hadir sama Timbalan Naib Canselor Penyelidikan & Inovasi, Prof. Dato’ Dr. Mashitah Mohd Yusof, Penasihat Persatuan Wanita UMP (MATAHARI), Datin Sri Hajah Fazia Ali , Presiden Persatuan Wanita UMP (MATAHARI) Prof. Datin Dr. Mimi Sakinah Abd Munaim dan Pengerusi PUSPANITA Cawangan Negeri Pahang, Datin Seri Dato’ Indera Jamaliah Zainal Abidin.
 

Dalam ucapannya Puan Sri Dato’ Sri Rohani merakamkan penghargaan terima kasih atas kerjasama strategik antara UMP dan PUSPANITA dalam penganjuran seminar ini. Ujarnya, PUSPANITA merupakan rakan Strategik Perkhidmatan Awam yang  menyokong program-program berbentuk keilmuan dan pengetahuan selaras dengan matlamat Pelan Tindakan Strategik PUSPANITA.
 

“Seperti mana yang kita maklum, pelbagai inisiatif Kerajaan dalam peluang keusahawan secara digital antaranya melalui program eRezeki, eUsahawan dan eLadang di bawah Malaysia Digital Economy Corporation Sdn Bhd (MDEC) agar ekonomi  digital terus inklusif demi kesejahteraan, “ katanya. Beliau berharap semua peserta terutamanya pelajar UMP mengambil peluang ini untuk memulakan perniagaan secara digital serta mampu mendepani isu-isu semasa yang berkaitan dengan ancaman alam siber di negara ini. Selain itu turut menggalakkan pelajar untuk memulakan perniagaan sejak berada dalam kampus lagi tanpa menjejaskan pengajian sebagai persiapan dan menimba pengalaman membina perniagaan sendiri mahupun membina kerjaya kelak.
 

Dalam program ini seramai empat penceramah telah berkongsi kepakaran masing-masing antaranya pensyarah Fakulti Sistem Komputer & Kejuruteraan Perisian (FSKKP), Roslina Abd Hamid dan Fauziah Zainuddin dengan tajuk “Kick-Start” Perniagaan Digital. Bagi tajuk “Tiga serangkai Penjana Kejayaan Perniagaan Digital”  yang dikongsikan oleh Nor Azhar Ahmad. Bagi tajuk “Perniagaan Digital : Harungi Dugaan” pula dikongsikan oleh pensyarah Kanan UMP  Dr. Rahmah Mokhtar manakala slot terakhir membincangkan Kesedaran dan Keselamatan Siber serta cabarannya telah disampaikan oleh Eksekutif Jabatan Outreach dan Komunikasi Korporat CyberSecuity Malaysia, Elina Mubin.

Pada masa yang sama, turut diadakan pelancaran BUKU “70 Teknik Pemasaran Digital” yang mengupas mengenai teknik-teknik berserta contoh dan ilustrasi yang dipaparkan serta dapat memberi idea kepada pembaca bagi memasarkan produk masing-masing. Topik–topik yang dikupas dalam seminar ini untuk menerapkan langkah memulakan perniagaan digital, menjelajahi tiga tonggak utama dalam perniagaan digital dan menangani dugaan yang perlu diharungi serta keselamatan perniagaan digital itu sendiri.
 

Dalam pada itu berlangsungnya majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara UMP yang diwakili Naib Canselor UMP, Prof Dato’ ts Dr. Daing Nasir Ibrahim dan Prof. Dato Dr. Yuserrie Zainuddin manakala pihak Puspanita diwakili Yang Dipertua PUSPANITA Puan Sri Dato’ Sri Rohani dan Setiausaha Agung PUSPANITA, Afriza Hani Mohd. Sinon. Menerusi jalinan kerjasama ini menyaksikan pihak PUSPANITA menyumbang sebanyak 50 ribu ringgit untuk Anugerah Kecemerlangan mahasiswa UMP dengan memperkenalkan Anugerah Prihatin Komuniti PUSPANITA pada setiap kali Majlis Konvokesyen UMP.

Reports by:
Nur Laila binti Afandi