Skip to main content

UMP dan Yayasan Terengganu berkolaborasi dalam bidang akademik dan pengantarabangsaan

KUALA TERENGGANU, 30 Mei 2023 - Universiti Malaysia Pahang (UMP) memeterai memorandum persefahaman (MoU) dan perjanjian bersama (MoA) dengan  Yayasan Terengganu dalam kolaborasi  akademik dan pengantarabangsaan. 

Melalui perjanjian persefahaman ini, kedua-dua pihak telah bersetuju untuk menggariskan beberapa aktiviti kolaborasi akademik dan memberi khidmat nasihat bagi program seperti Program Asasi, Program Ijazah Dual Sarjana Muda Kejuruteraan Awam dan Program Ijazah Dual Sarjana Muda Kejuruteraan Elektrikal dan Elektronik. 

Lain-lain Program Ijazah Dual Sarjana Muda Kejuruteraan Mekanikal, Program Ijazah Dual Sarjana Muda Kejuruteraan Kimia, Program STEM dan Program-program pengajian kerjasama antarabangsa UMP yang boleh memberi impak kepada pembangunan modal insan Negeri Terengganu.

Kerjasama itu juga bakal menyaksikan Confucius Institute (CI) UMP berperanan sebagai institut bahasa Mandarin yang menyediakan silibus pengajaran dan pembelajaran bahasa Mandarin dengan pelancaran tapak pengajaran Confucius Institute (CI) UMP di Sekolah Menengah Imtiaz Yayasan Terengganu. 

UMP dan Yayasan Terengganu berkolaborasi dalam bidang akademik dan pengantarabangsaan

Majlis menyaksikan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Profesor Ts. Dr. Mohd Rusllim Mohamed dan Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Profesor Ir. Ts. Dr. Ahmad Ziad Sulaiman menandatangani memorandum bersama Pengarah Yayasan Terengganu, Dato’ Haji Mohd Azmi Mohamad Daham dan Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi, Haji Maliaman Kasim yang mewakili Dato' Haji Satiful Bahari Mamat Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Pendidikan dan Syariah. 

Hadir menyaksikan detik bersejarah ini, Kaunselor Pendidikan Kedutaan China di Malaysia,  Zhao Changtao, Attaché Kedutaan China di Malaysia,  Zhang Tian dan Yang di-Pertua Dewan Undangan Negeri Terengganu , Yang Berhormat Dato’ Haji Yahaya Ali. 

Menurut Profesor Ts. Dr. Mohd Rusllim, pertumbuhan sektor pembuatan dan industri di Malaysia pada masa ini memerlukan lebih banyak tenaga pakar dan berkemahiran dalam pelbagai bidang teknologi.

“Pendidikan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) juga dilihat akan memberi lonjakan terhadap sistem pendidikan negara.

“Dengan penubuhan tapak pengajaran ini, UMP menerima sokongan daripada Universiti Hebei bagi penyediaan tenaga pengajar bahasa Mandarin di sekolah menengah Imtiaz ini. 

“Di samping peranan pengajaran bahasa, CI UMP juga berfungsi sebagai platform untuk pertukaran budaya antara Malaysia dan China, mengukuhkan persahabatan dan kerjasama antara kedua-dua negara,” katanya ketika berucap mewakili Naib Canselor UMP, Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrie Zainuddin. 

UMP mempunyai program kerjasama dengan Beijing Jiaotong University (BJTU) China dalam program Ijazah Dual UMP dalam bidang kejuruteraan yang menyumbang terhadap pembangunan industri rel negara ini. 

Selain itu, UMP turut terbabit kerjasama lain dengan universiti di China termasuk program ijazah dual dengan Universiti Tianjin (TJU) dan program kerjasama dengan Universiti Ningxia (NXU). 

Sementara itu, bagi Zhao Changtao, beliau percaya dengan kerjasama antara CI UMP dan Yayasan Terengganu ini akan mengeratkan hubungan baik dan memanfaatkan semua pihak. 

Pelancaran tapak pengajaran bahasa Mandarin ini juga akan mengukuhkan lagi pertukaran pendidikan antara Pahang dan Terengganu dan akan membina jambatan pertukaran bahasa dan budaya yang kukuh antara masyarakat China dan Malaysia.

Pada masa ini, seramai 530 pelajar dari 22 kelas bahasa Mandarin di sekolah ini sedang mempelajari mata pelajaran bahasa Mandarin dari tingkatan 1 hingga tingkatan 4 melibatkan tujuh buah Sekolah Menengah Imtiaz Yayasan Terengganu yang menawarkan mata pelajaran bahasa Mandarin mengikut sukatan pelajaran Ujian Penguasaan Bahasa Cina merangkumi Sekolah Menengah Imtiaz Yayasan Terengganu Besut, Kuala Nerus, Kuala Terengganu, Marang, Kuala Berang, Dungun dan Kemaman.

Disediakan oleh: Mimi Rabita Abdul Wahit, Bahagian Komunikasi Korporat, Jabatan Canseleri 

Reports by:
Mimi Rabita binti Abd Wahit