Skip to main content

UMP jalin kerjasama antarabangsa dengan BAIBU Turki

Kuala Lumpur, 27 Mac- Universiti Malaysia Pahang (UMP) memperkasa hubungan strategik antarabangsa dengan meneroka peluang kerjasama akademik dan penyelidikan bersama pihak Bolu Aybant Izzet University (BAIBU), Turki dalam majlis yang berlangsung pada  Persidangan Antarabangsa Asia Pacific Association for International Education (APAIE) 2019 bertempat di  Kuala Lumpur Convention Centre.

Majlis menyaksikan Naib Canselor UMP, Profesor Dato' Sri Dr Daing Nasir Ibrahim menandatangi dokumen MoU manakala pihak Baibu diwakili Rektornya, Prof Dr. Mustafa Alisarli. Turut hadir pada majlis itu ialah Pengarah Pejabat Antarabangsa, Dr Nik Aloesnita Nik Mohd. Alwi dan Koordinator Pelajar dan Staf Antarabangsa Baibu, Özlem Yelda DİLMEN.

Menurut Profesor Dato' Sri Dr Daing Nasir, UMP tersenarai dalam penarafan subjek terbaik dunia di QS World University by Subject Ranking 2019 bagi subjek Mekanikal, Aeronautik, Pembuatan, Kejuruteraan Kimia, Kejuruteraan dan Teknologi. Ujarnya, pencapaian ini menyerlahkan kecemerlangan dalam pengajaran dan pembelajaran di UMP yang sentiasa memberi fokus kepada pelbagai aspek teknikal dan teknologi.

Katanya, kedudukan subjek sering digunakan oleh pelajar untuk membuat pilihan dan menilai universiti yang tepat untuk menyambung pengajian di dalam bidang yang diingini.

“Menerusi pemetraian memorandum persefahaman (MoU) ini kedua-dua pihak akan bekerjasama dalam pembangunan akademik serta bidang penyelidikan termasuklah pertukaran staf staf, pelajar serta program akademik yang dapat diterokai bersama,” katanya.

Manakala menurut Prof Dr. Mustafa, kerjasama ini merupakan suatu permulaan dalam program kerjasama dan pihaknya menghargai kerjasama UMP dalam merealisasikan hasrat hubungan erat antarabangsa ini pada masa akan datang.  

Selain itu, program ini turut menggalakkan program mobiliti pelajar dan staf melalui program seperti Erasmus dan Mevlana. Melalui kerjasama ini staf dan pelajar UMP berpeluang berkongsi kepakaran dan menjalinkan hubungan baik dengan universiti di Turki seperti Yildiz Technical University, Sakarya University, Karabuk University, Akdeniz University dan Manisa Celal Bayar University dalam bidang khususnya berkaitan kejuruteraan dan teknologi.

BAIBU yang ditubuhkan pada tahun 1992 merupakan di antara universiti terbaik di negara Turki yang turut aktif dalam menjayakan program pertukaran pelajar antarabangsa dan staf yang ditawarkan kepada pelajar dari negara Asia, Eropah, Asia Timur dan Afrika.  

Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri