Skip to main content

UMP jalin kerjasama dengan IWK dan VETSB

PAYA BESAR, 15 April 2022 - Universiti Malaysia Pahang (UMP) dan Indah Water Konsortium Sdn. Bhd. (IWK) telah memeterai kerjasama dalam bidang teknologi rawatan sisa air domestik dan industri.

Dengan kerjasama ini, UMP dan IWK akan berkongsi kepakaran untuk menjalankan penyelidikan dan pembangunan di dalam bidang olahan air sisa.

Manakala kerjasama UMP dan pihak Velcro Envirotech Sdn. Bhd. (VETSB) ini bakal memperkasakan program TVET dan penyelidikan yang lebih unggul pada masa hadapan.

Memorandum persefahaman (MoU) itu menyaksikan UMP diwakili oleh Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Profesor Ts. Dr. Kamal Zuhairi Zamli dan Dekan Fakulti Teknologi Kejuruteraan Awam (FTKA), Ir. Dr. Fadzil Mat Yahaya.

VETSB pula diwakili oleh Pengarah Urusan, Mohd Shah Rizal Zohri dan Ketua Pegawai Kewangan, Yuliasmi Eddy.

Manakala IWK pula diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutif, Narendran Maniam dan Pengurus Kanan Operasi, Haji Mohd Zainal Zakaria secara dalam talian.

Menurut Profesor Ts. Dr. Kamal, UMP akan menawarkan kepakaran dan pengalaman dengan menggalakkan pembangunan profesional kepada staf IWK melalui program Pascasiswazah Industri di universiti ini.

“Manakala pihak IWK akan menawarkan program sangkutan akademik industri kepada staf UMP dan latihan industri kepada pelajar UMP.

“Dalam pada itu, kerjasama dua hala antara pihak VETSB dan UMP akan dapat dimanfaatkan untuk memperkasakan program TVET dan penyelidikan,” katanya.

Beliau berharap penyelidik dan pelajar UMP dapat mengambil manfaat dari pengalaman dan kepakaran IWK dan VETSB melalui pemeteraian MoU ini.

Bagi Narendran Maniam, kerjasama ini dapat menonjolkan keupayaan industri dan kepakaran universiti tempatan di peringkat antarabangsa.

“UMP dan IWK akan berkongsi kepakaran untuk menjalankan penyelidikan dan pembangunan dalam bidang olahan air sisa,” ujarnya.

Sementara itu, bagi Mohd Shah Rizal, VETSB merupakan sebuah syarikat persendirian yang menawarkan penyelesaian teknikal berkaitan masalah alam sekitar yang berlaku dalam pelbagai sektor.

“VETSB berpengalaman lebih daripada 20 tahun dalam disiplin pengurusan alam sekitar, kejuruteraan kawalan pencemaran alam sekitar dan pengurusan sisa, dan saya percaya ia dapat membantu meningkatkan nilai tambah tenaga pengajar dan kebolehpasaran graduan bagi merebut peluang pekerjaan pada masa hadapan,” katanya.

Antara manfaat kerjasama yang bakal dijalin antara dua organisasi ini ialah penawaran latihan dan pengalaman teknikal bersama industri, kerjasama menaik taraf keupayaan teknikal industri, penjanaan ilmu dan teknologi termaju melalui inisiatif penyelidikan dan penjanaan teknologi baharu.

Disediakan oleh: Nor Salwana Mohammad Idris, Unit Komunikasi Korporat, Pejabat Naib Canselor. 

Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri