Skip to main content

UMP jalin kerjasama dengan NanoMalaysia Berhad dalam Projek Penyelidikan BICEP

BANGI, 9 September 2022 - Universiti Malaysia Pahang (UMP) menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bersama NanoMalaysia Berhad (NMB) bagi menjayakan projek penyelidikan Biomass Innovation Circular Economy Programme (BICEP).
 
Projek ini akan menggunakan sisa biojisim daripada aktiviti pertanian di Malaysia untuk menghasilkan bahan dan produk termaju berkualiti tinggi yang mempunyai pelbagai faedah seperti bahan termaju seperti grafen, nanoselulosa, nanosilica yang boleh digunakan peranti Internet Kebendaan (IoT), komponen kenderaan elektrik (EV) serta bahan api untuk tenaga boleh diperbaharui seperti hidrogen.

Dalam majlis ini, Ketua Pegawai Eksekutif NanoMalaysia Berhad, Dr Rezal Khairi Ahmad, bertukar dokumen MoU dengan Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Profesor Ts. Dr. Kamal Zuhairi Zamli dengan disaksikan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi , Dato’ Sri Dr. Adham Baba.
 
Menurut Profesor Ts. Dr. Kamal, ia adalah seiring dengan Perancangan Pelan Strategik UMP 2021-2025 (UMP25) ke arah kegemilangan universiti melalui kecemerlangan yang digariskan melalui penawaran program akademik, memanfaatkan teknologi terkini, penerokaan teknologi baharu, pengurusan kewangan dan pentadbiran serta pengantarabangsaan dan keusahawanan.
 
“Kolaborasi ini bertepatan dengan hasrat UMP yang sentiasa berusaha untuk menghasilkan penyelidikan berimpak serta dapat melahirkan graduan yang kompeten bagi memenuhi kehendak industri,” katanya.
 
Malahan kolaborasi ini juga melibatkan kerjasama NMB dalam bidang penyelidikan, perkongsian kepakaran teknikal, latihan dan konsultansi melibatkan dalam pelbagai aspek hubungan industri.
 
Turut berlangsung Majlis Penutup Acara NanoKEB anjuran NMB dan Pusat Nanoteknologi Kebangsaan (NNC) 2022 dan pelancaran Malaysia Nanotechnology Industrial Group (MNIG) di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI).

Bagi Pertandingan Inovasi Projek Penyelidikan Peringkat Kebangsaan 2022 bagi  Kategori Doktor Falsafah dimenangi Nur Amalina Ramli daripada Fakulti Teknologi Kejuruteraan Kimia dan Proses (FTKKP) di bawah seliaan Profesor Madya Dr. Fatmawati Adam.

Disediakan oleh: Mimi Rabita Abdul Wahit, Bahagian Komunikasi  Korporat, Jabatan Canseleri 

Reports by:
Mimi Rabita binti Abd Wahit