Skip to main content

UMP jalin kerjasama dengan PKPP berkaitan sektor perladangan

KUALA LUMPUR, 26 Mei 2023 – Baru-baru ini, Universiti Malaysia Pahang (UMP) jalin kerjasama dengan Perbadanan Kemajuan Pertanian Negeri Pahang (PKPP) dalam membangunkan bidang perladangan, pertanian dan penternakan.

Menerusi kerjasama itu, UMP akan menjalankan kajian dan penyelidikan bersama melibatkan perkongsian data-data serta maklumat-maklumat berhubung dengan penyelidikan, inovasi, perundingan, khidmat teknikal, pengkomersialan dan lain-lain dalam bidang kerjasama berkaitan dengan sektor perkhidmatan PKPP iaitu sektor komersial dan sosial.

Manakala pihak PKPP akan menyediakan kemudahan, fasiliti dan bantuan sokongan bagi pembangunan kajian dan penyelidikan dan memanfaatkan fasiliti dan kemudahan PKPP bagi melaksanakan kajian dan penyelidikan yang dipersetujui bersama.

UMP jalin kerjasama dengan PKPP berkaitan sektor perladangan

Majlis menyaksikan Naib Canselor UMP, Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrie Zainuddin dan Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Profesor Ts. Dr. Kamal Zuhairi Zamli menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bersama Ketua Pegawai Eksekutif, Dato’ Suhaimi Mohd Yunus dan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif, Dato’ Hajah Sarwah Mohamed Jusoh. 

Hadir menyaksikan majlis Menteri Besar Pahang, Dato' Sri Wan Rosdy Wan Ismail. 

Turut sama Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato' Indera Haji Zulkifli Haji Yaacob dan Penasihat Undang-undang Negeri Pahang, Dato' Saiful Edris Zainuddin. 

Menurut Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrie, hasil kolaborasi ini satu projek ubah suai dan naik taraf jentera Crawler bagi penggunaan di ladang sawit milik PKPP telah mula dibangunkan oleh para penyelidik UMP daripada Pusat Kejuruteraan Automotif (AEC) dan Pusat Reka Bentuk dan Inovasi Teknologi (PRiNT)

“Kerjasama strategik berterusan ini bakal meneroka lebih banyak peluang berkaitan bidang pendidikan tinggi seperti kolaborasi penyelidikan, pertukaran kepakaran dan pelajar, program mobiliti dan lain-lain yang dapat dimanfaatkan oleh kedua-dua pihak,” katanya. 

UMP sebagai sebuah universiti yang berteraskan teknologi dan kejuruteraan sentiasa berinovasi dan berkolaborasi dengan mengupayakan kebolehan teknikal serta penerokaan teknologi berimpak tinggi seiring dengan agenda Pelan Strategik UMP 2021-2025 ke arah universiti teknologi terunggul.

Disediakan oleh: Mimi Rabita Abdul Wahit, Bahagian Komunikasi Korporat, Jabatan  Canseleri 

Reports by:
Mimi Rabita binti Abd Wahit