Skip to main content

UMP, MBK bakal berkolaborasi dalam pengurusan sistem lalu lintas dan pengangkutan awam yang efektif

KUANTAN, 30 Mac 2022 - Universiti Malaysia Pahang (UMP) bakal berkolaborasi dengan Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) dalam berkongsi kepakaran meningkatkan kecekapan pengurusan lalu lintas dan pengurusan pengangkutan awam seiring dengan pembangunan bandar pintar serta lestari khususnya melibatkan bandar yang mempunyai tahap mobiliti tinggi dan mesra pejalan kaki.

Pasukan kajian ini diketuai oleh Profesor Ts. Dr. Othman Che Puan dengan penglibatan kumpulan penyelidik yang terdiri daripada staf akademik dan teknikal ‘Transportation & Geotechnics Research Group (TGRG)’ UMP mengikut sektor kajian yang membabitkan prestasi fasiliti jalan raya, pengurusan ruang parkir, sistem edaran lalu lintas, fasiliti terminal dan hentian bas, pengangkutan awam dan lain-lain.

Turut sama dalam kajian ini ialah Profesor Madya Dr. Ir. Adnan Zulkiple, Ts. Dr. Khairil Azman Masri, Ir. Dr. Azhani Zukri, Dr. Intan Suhana Mohd Razelan, Azlina Haji Ismail dan Profesor Ts. Dr. Mohd Rosli Hainin.

Majlis menyaksikan acara menandatangani surat niat (LOI) yang dihadiri Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Profesor Ts. Dr. Kamal Zuhairi Zamli mewakili Naib Canselor UMP bersama Dato’ Bandar, Majlis Bandaraya Kuantan, Dato’ Dr. Hamdan Hussin.

UMP, MBK bakal berkolaborasi dalam pengurusan sistem lalu lintas dan pengangkutan awam yang efektif

Menurut Profesor Ts. Dr. Kamal, kedua-dua pihak akan berkongsi kepakaran dan pengalaman bagi melaksanakan usaha dan inisiatif di setiap aspek ke arah menjadikan Kuantan sebagai sebuah bandar raya pintar dan lestari sejajar dengan Pelan Induk Daya Saing Bandar Raya Kuantan. 

“Kajian ini dilaksanakan sebagai input kepada proses merangka pelan jangka pendek dan jangka panjang penambahbaikan pengurusan sistem lalu lintas dan pengangkutan awam yang efektif untuk meningkatkan tahap ‘Mobility’ dan ‘Walkability’ bandar raya,” ujarnya dalam program yang berlangsung di Bangunan MBK, Kuantan. 

Tumpuan kawasan kajian melibatkan jalan-jalan dan simpang utama dalam kawasan  pusat bandar raya, hubungan dengan KotaSAS, Jalan Beserah dan Jalan Teluk Sisek serta lain-lain kawasan yang telah dikenal pasti.

Disediakan oleh: Mimi Rabita Abdul Wahit, Unit Komunikasi Korporat, Pejabat Naib Canselor (PNC)

TAGS / KEYWORDS
Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri