Skip to main content

UMP meterai hubungan kerjasama dengan Hadhramout University

KUANTAN, 2 Mac 2021 - Jalinan kerjasama erat Universiti Malaysia Pahang (UMP) dengan Hadhramout University (HU) Yaman bakal memanfatkan bidang akademik dan penyelidikan membabitkan kedua-dua universiti. 

Empat bidang yang akan menjadi tumpuan ialah program pertukaran pelajar dan staf, penganjuran bersama dalam persidangan, kolaborasi program ijazah sarjana (Master) dan kedoktoran (PhD) serta projek kerjasama kajian dan geran penyelidikan. 
 
Majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) itu dijalankan secara dalam talian.
 
Naib Canselor UMP, Profesor Ir. Dr. Wan Azhar Wan Yusoff menandatangani MoU mewakili UMP manakala pihak HU diwakili Presidennya, Profesor Dr. Mohammed Saeed Khanbash. 

Turut sama dalam program, Gabenor Hadramout, Major General Faraj Salmeen Albahsani, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Profesor Ts. Dr. Mohd Rosli Hainin, Timbalan Presiden Hal Ehwal Akademik HU, Profesor Dr. Abdullah Saleh Babair dan Dr. Samir Salem al-Bawri yang mewakili HU di Malaysia
 
Menurut Profesor Ir. Dr. Wan Azhar, pihak universiti amat mengalu-alukan kerjasama ini terutamanya dalam bidang penyelidikan, akademik dan penganjuran persidangan dengan pihak HU.
 
“Sehingga kini, UMP mempunyai seramai 155 orang alumni daripada Yaman dan 175 orang pelajar sedang mengikuti pengajian melibatkan 147 orang pelajar prasiswazah dan 28 orang pelajar pascasiswazah.

“Seramai 50 orang pelajar mendapat tajaan daripada pihak BFOS dan Babaker Group bagi mengikuti pengajian di UMP,” katanya. 
 
Sementara itu, seramai empat orang staf dari Yaman sedang berkhidmat di univesiti ini iaitu Profesor Madya Dr. Abdulrahman Ahmed Mohammed al-Sewari (Fakulti Komputeran), Dr. Taha Hussein Alaaldeen Rassem (Fakulti Komputeran), Dr. Abdullah Nasser Mohammed Abdullah (Fakulti Komputeran) dan Dr. Waheb Abdul Jabbar Shaif Abdullah (Fakulti Teknologi Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik).
 
Pada masa yang sama, kedua-dua pihak turut membincangkan berkaitan pertukaran pelajar dan pembiayaan pengajian pelajar Yaman yang menyambung pengajian di universiti ini.
 
Turut dibincangkan penganjuran bersama persidangan 7th International Conference on Software Engineering & Computer Systems dan 4th International Conference on Computational Sciences & Information Management yang bakal berlangsung pada 24 hingga 26 Ogos 2021 anjuran Fakulti Komputeran UMP.

Disediakan Oleh: Mimi Rabita Abdul Wahit, Unit Komunikasi Korporat, Pejabat Naib Canselor

TAGS / KEYWORDS
Reports by:
Mimi Rabita binti Abd Wahit