Skip to main content

UMP, YASA meterai kerjasama strategik dalam program pendidikan, penyelidikan dan komuniti

KUANTAN, 20 Januari 2022 – Kolaborasi strategik antara Universiti Malaysia Pahang (UMP) dan Yayasan Al-Sultan Abdullah (YASA) bakal memanfaatkan bidang pendidikan, penyelidikan dan komuniti dalam kalangan pelajar di negeri Pahang.

YASA merupakan sebuah Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) di negeri Pahang bakal memberi peluang pelajar khususnya daripada komuniti yang kurang bernasib baik (underprivileged community), Orang Asli dan mualaf di negeri Pahang untuk mengikuti program pendidikan dan pembangunan kerjaya.

Majlis menyaksikan majlis pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) antara UMP yang diwakili oleh Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrie Zainuddin yang menjalankan fungsi Naib Canselor UMP dan YASA  diwakili Pengurus Besar YASA, Dato’ Haji Abdul Munir Abdul Basit.

UMP, YASA meterai kerjasama strategik dalam program pendidikan, penyelidikan dan komuniti

Berangkat menyaksikan acara Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bersempena dengan Majlis Pelancaran Buku Aspirasi Menara Gading, Majlis Penutup Access Leadership Program YASA dan U.S Embassy Kuala Lumpur dan Pertukaran MoU antara UMP dan YASA yang berlangsung di Hotel Zenith Kuantan.

Menurut Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrie Zainuddin, dengan  kepakaran dan kemudahan fasiliti yang terdapat di universiti, UMP bakal menyediakan saluran khas kemasukan kepada peserta Akademi Menara Gading (AMG) untuk mengikuti pelbagai bidang pengajian di UMP.

“Dari segi penyelidikan, kerjasama ini melibatkan penyelidikan dan penerbitan dalam pembangunan pendidikan komuniti yang kurang bernasib baik (underprivileged community), luar bandar, Orang Asli dan mualaf.

“Kerjasama ini bakal mewujudkan  program Vision of Future Innovator bersama Pusat Diploma dan Asasi, UMP serta Program Inovator Masa Hadapan (Future Innovator Programme) iaitu program jangka pendek yang akan melibatkan 30 orang pelajar daripada golongan asnaf, Orang Asli dan mualaf termasuklah para pelajar dari tingkatan 1 hingga 5.

“Manakala Sekolah Inovator Masa Hadapan (Future Innovator School) pula merupakan program jangka panjang yang juga akan melibatkan penyertaan pelajar tingkatan 1 hingga 5,” ujarnya.

Malahan kerjasama ini turut melibatkan pelaksanaan Program Kerjasama Komuniti Kerjasama dengan Kolej Pengurusan dan Kemanusiaan, UMP. 

UMP, YASA meterai kerjasama strategik dalam program pendidikan, penyelidikan dan komuniti

Antara program yang dijalankan adalah program pendidikan dan latihan anak-anak mualaf serta anak Orang Asli dan program bersama komuniti luar bandar.

Sementara itu, menurut Dato’ Haji Abdul Munir, pihak YASA bersedia menyediakan data-data pelajar yang akan terlibat pagi program-program yang akan dijalankan oleh UMP.

Pihaknya juga akan memberi peluang untuk pelajar UMP menjalani latihan industri di Akademi YASA-MUIP dan premis lain di bawah tanggungjawab YASA. 

UMP, YASA meterai kerjasama strategik dalam program pendidikan, penyelidikan dan komuniti

Dalam program ini, sebanyak RM 20,000 disumbangkan pihak UMP Advanced kepada pihak YASA yang disampaikan Pengerusi Lembaga Pengarah UMP Advanced yang juga merupakan ahli LPU UMP, Datuk Mohd. Sharil Abdullah. 

UMP, YASA meterai kerjasama strategik dalam program pendidikan, penyelidikan dan komuniti

Hadir sama dalam majlis Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Profesor Ts. Dr. Mohd. Rosli Hainin, Pengurus Akademi Menara Gading (AMG), Prof.esor Dato’ Dr. Abdul  Razaq Ahmad dan Ketua Pegawai Eksekutif UMP Advanced, Profesor Madya Dr. Mohd. Rusllim Mohamed.

AMG merupakan program anjuran YASA atau dahulu dikenali sebagai Yayasan Istana Abdul Aziz pada tahun 1996 dengan Yang di-Pertuan Agong  Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah selaku penaung. 

Disediakan oleh: Mimi Rabita Abdul Wahit, Unit Komunikasi Korporat, Pejabat Naib Canselor (PNC)

Reports by:
Mimi Rabita binti Abd Wahit