Skip to main content

UMP, Yayasan UMP meterai kerjasama dengan MEC

KUANTAN,  6 Julai 2022 – Universiti Malaysia Pahang (UMP) dan Yayasan UMP meterai perjanjian bersama Malaysian Engineering Community (MEC) Jerman bagi meningkatkan kebolehpasaran graduan menerusi pelaksanaan German Industry Employability Programme (GIEP) yang bakal memanfaatkan pelajar bagi penempatan kerjaya di Jerman.

Majlis menyaksikan Pengerusi Lembaga Pengarah UMP, Tan Sri Dato’ Sri Dr. Abdul Aziz Abdul Rahman merangkap Pengerusi Yayasan UMP dan UMP diwakili Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Profesor Ts. Dr. Mohd. Rosli Hainin menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) yang berlangsung di Hotel Zenith, Kuantan.

Manakala pihak MEC diwakili Presiden Persatuan Jurutera Malaysia-Jerman (MEC), Ruzaidi Abdul Rashid.

Menurut Tan Sri Dato’ Sri Dr. Abdul Aziz, dengan kerjasama ini dapat membangunkan satu hab kerjaya antarabangsa untuk menjadi one-stop center bagi pembangunan pelajar dan graduan UMP berkaitan kerjaya antarabangsa.

“Pada masa yang sama, ia dapat meningkatkan nilai tambah untuk memastikan pelajar mahir teknologi selaras dengan Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0) terutama dalam kecerdasan buatan (AI) dan Internet Of Thing (IoT).

UMP, Yayasan UMP meterai kerjasama dengan MEC

“Yayasan UMP juga akan berperanan dalam menjayakan pelaksanaan program eksklusif ini yang bakal ditawarkan kepada pelajar yang cemerlang dalam bidang akademik. 

“Diharapkan ia dapat menjadi pendorong kepada pelajar yang mengikuti pengajian di UMP untuk mengecapi peluang ini,” katanya.

Ujarnya, hab kerjaya ini akan merangka kurikulum tambahan untuk meningkatkan penguasaan pelajar dan graduan dalam bahasa Jerman, menyediakan pelajar untuk memohon penempatan di Jerman secara lebih sistematik dan berstruktur serta juga memperkuat jati diri peserta untuk berkhidmat kepada negara.

Beliau melahirkan rasa gembira dengan jalinan kerjasama ini dan mengharapkan agar kerjasama ini mampu memberi manfaat kepada kedua-dua pihak. 

Jalinan kerjasama program UMP dengan institusi di Jerman bermula sejak tahun 2010 dan sehingga kini, seramai 181 pelajar UMP telah berjaya menamatkan program kerjasama (dual ijazah) yang membabitkan seramai 108 orang mengikuti Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Mekatronik dan seramai 66 orang telah mengikuti program dual ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Automotif. 

Manakala seramai tujuh orang pula berjaya menamatkan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Perniagaan.

Hubungan baik itu membolehkan UMP bekerjasama dengan nama-nama besar industri dari Jerman seperti Mercedes-Benz, Volkswagen, BMW, Robert Bosch, Muehlbauer Technologies dan Elektrisola yang memberi peluang penempatan latihan industri, pertukaran staf, lawatan industri dan peluang pekerjaan.

Disediakan oleh: Nor Salwana Mohammad Idris, Bahagian Komunikasi Korporat, Jabatan Canseleri 

Reports by:
Nor Salwana bt Hj Mohammad Idris