Skip to main content

UMP, Yayasan UMP, RDA dan Kelab Ekuestrian Tanjung Lumpur meterai kerjasama aktiviti berkuda

PEKAN, 15 Mac 2023 - Universiti Malaysia Pahang (UMP), Yayasan UMP, Riding For The Disabled Association Malaysia (RDA) dan Kelab Ekuestrian Tanjung Lumpur memeterai  kerjasama dalam aktiviti berkuda dengan berkongsi kepakaran, aktiviti kesukarelawanan dan perkhidmatan berkuda bagi membantu kanak-kanak berkeperluan khas dengan memberi  terapi kepada mereka untuk pulih. 
 
UMP diwakili oleh Pengerusi Lembaga Pengarah UMP, Tan Sri Dato’ Sri Dr. Abdul Aziz Abdul Rahman dan Naib Canselor, Profesor Dato' Ts. Dr. Yuserrie Zainuddin. 
 
Manakala RDA diwakili oleh Setiausaha Kehormat, Johari Lee dan Presiden Kelab Ekuestrian Tanjung Lumpur, Dato’ Dr. Ahmad Shukri Haji Ismail.  

UMP, Yayasan UMP, RDA dan Kelab Ekuestrian Tanjung Lumpur meterai kerjasama aktiviti berkuda

 
Dengan kerjasama ini, UMP bakal menyalurkan khidmat sukarelawan bagi memberikan sokongan terhadap usaha membantu kanak-kanak berkeperluan khas ini untuk pulih.
 
Manakala menerusi Kelab Ekuestrian Tanjung Lumpur pula akan menyumbangkan peranan sebagai pengemudi kuda, pembantu pengemudi dan khidmat kejurulatihan.
 
Tan Sri Dato’ Sri Dr. Abdul Aziz berkata, aktiviti terapi berkuda yang diterapkan kepada orang kurang upaya (OKU) ini dilihat memberi perkembangan positif kepada anak-anak sekali gus menjadi terapi penyembuhan pelbagai jenis penyakit.
 
“Kolaborasi ini memberi ruang dalam usaha untuk memajukan aktiviti berkuda di UMP dan aktiviti kesukarelawanan.

“Ia juga bakal memberikan kepakaran terlatih dan memperkasakan kemahiran insaniah pelajar UMP untuk menyumbang peranan dalam pembangunan komuniti,” katanya.
 
Beliau berharap dengan jalinan kerjasama ini akan memberi peluang kepada pelajar UMP menyumbang kepakaran dan pengetahuan dengan mempelajari teknik terapi berkuda seterusnya menjadi kumpulan sokongan bagi sukarelawan terlatih pada masa depan.
 
Pada masa sama, kolaborasi ini juga bakal membuka lebih banyak ruang kerjasama yang bakal diterokai mengenai terapi berkuda di negara ini.

UMP, Yayasan UMP, RDA dan Kelab Ekuestrian Tanjung Lumpur meterai kerjasama aktiviti berkuda

Dalam pada itu, kolaborasi ini juga membolehkan pelajar UMP mengadakan latihan berkala dalam Klinik Orientasi Equestrian yang diadakan di Kompleks Equestrian Pahang, Tanjung Lumpur. Latihan ini menumpukan aspek penting dalam sukan berkuda seperti teknik asas berkuda dan pengetahuan pengurusan kuda.
 
Hadir sama dalam program Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Profesor Ts. Dr. Rusllim Mohamed yang menjalankan fungsi Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) dan Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Profesor Ts. Dr. Kamal Zuhairi Zamli.

Disediakan oleh: Nor Salwana Mohammad Idris, Bahagian Komunikasi Korporat, Jabatan Canseleri

Reports by:
Nor Salwana bt Hj Mohammad Idris