Skip to main content

Golongan OKU bangkit bersemangat diberi perhatian

PEKAN, 2 Disember 2020 - Siapa sangka dilahirkan dalam keadaan sempurna namun bergelar Orang Kurang Upaya (OKU) pada usia 28 tahun selepas terlibat dalam kemalangan sehingga menyebabkan kehilangan kaki kirinya.

Bagi Fazil Khalid yang merupakan Penolong Pegawai Teknologi Maklumat  Universiti Malaysia Pahang (UMP) berkata, tragedi kemalangan jalan raya 14 tahun lalu itu sememangnya menjadi kenangan pahit buat dirinya.

Menurut Fazil, masih segar dalam ingatannya, kejadian yang belaku pada tahun 2006. 

“Ketika itu, tatkala dalam perjalanan  pulang dari Temerloh selepas menziarahi kedua ibu bapa dan  menuju ke Kuantan untuk kembali bertugas. 

“Pada ketika itu, saya yang menaiki motosikal di Lebuh Raya Pantai Timur telah bertembung dengan motosikal lain yang ketika itu dalam keadaan melawan arus untuk mengelakkan diri daripada pemeriksaan sekatan jalan (roadblock) oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).  

“Ketika kejadian itu berlaku, motorsikal kami bertembung dan saya tercampak di tengah jalan raya serta dalam masa yang sama ketika itu kaki saya dilanggar oleh kereta yang sedang melalui dari arah yang sama,” katanya. 

Tambah beliau, apabila tersedar di hospital doktor menyarankan agar kaki kiri saya terpaksa dipotong sehingga peha kerana mempunyai masalah di salur urat utama

“Bermula dari situ, bermulalah episod kisah duka beliau bergelar OKU. 

“Setiap hari saya berlawan dengan emosi sendiri dan tidak mampu untuk berdepan dengan rakan sekerja dan orang ramai.

“Sepanjang tiga bulan berada di hospital pelbagai dugaan yang saya ditempuhi, namun lama kelamaan saya semakin positif apabila melihat  ramai  yang senasib dengannya malahan ada yang lebih parah,” ,” ujarnya mengimbas tragedi yang menimpanya.

Beliau mengucapkan terima kasih kepada keluarga dan rakan-rakan yang banyak memberi dorongan selama ini. 

Dirinya bertuah apabila sepanjang berkhidmat di UMP, kebajikannya sentiasa dijaga terutama dalam pembelian kaki palsu, bil rawatan perubatan dan sebagainya.

Sempena Hari OKU Sedunia yang disambut pada setiap 3 Disember, Fazil berharap golongan sepertinya tabah menghadapi ujian ini untuk menempoh hari yang mendatang. 

“Yakinlah setiap ujian itu pasti ada sinar bahagia di hujungnya. 

“Nasihat saya, sentiasa tanamkan dalam diri, kuatkan semangat dan ingat golongan OKU bukannya lemah.,” katanya. 

Lain pula kisahnya dengan pelajar Ijazah Kedoktoran (PhD) di Fakulti Komputeran (FK) UMP, Siti Hawa Apandi, 31 yang mengidap penyakit Spinal Muscular Atrophy (SMA) iaitu sejenis penyakit yang telah melemahkan urat sarafnya sejak kecil lagi sehingga menyebabkan beliau tidak boleh bergerak melainkan mendapat bantuan sepenuhnya daripada ibunya.

Beliau yang mula mengikuti pengajian Diploma Sains Komputer pada tahun 2007 di UMP menganggap UMP merupakan universiti terbaik untuk menyambung pengajian hingga ke peringkat ijazah kedoktoran (PhD). 

Dengan sokongan UMP yang tidak pernah pudar sentiasa mendorong Hawa untuk menyambung pengajian di peringkat ijazah sarjana muda, sarjana dan PhD.

Ujar Siti Hawa, sejak awal kemasukkannya ke UMP, UMP telah memberikan kelonggaran untuk tinggal bersama ibu di asrama untuk menemaninya ke kelas dan juga dewan peperiksaan. 

“Selain itu juga, pihak universiti turut menyediakan kenderaan untuk menghantar beliau ditemani ibunya ketika menyertai pertandingan penyelidikan di luar UMP.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada staf dan pensyarah UMP yang tidak jemu memberikan sokongan dan dorongan sepanjang pengajian saya di UMP. 

“UMP menyediakan pelbagai kemudahan OKU seperti menyediakan laluan berkerusi roda, tandas OKU dan  kelas di aras bawah,” ujarnya.  

Hawa turut menasihati rakan-rakan senasib dengannya agar jangan pernah menyerah kalah, abaikan kata-kata negatif dari orang sekeliling dan anggap kekurangan itu satu kelebihan. 

Beliau turut mendoakan agar semua terus cemerlang dalam apa jua bidang yang diceburi.   

Sebagai tanda sokongan dalam memberi perkhidmatan kepada warga OKU, UMP telah menubuhkan Unit Perkhidmatan OKU UMP dalam usaha untuk mewujudkan kampus yang kondusif.

Disediakan Oleh: Nor Salwana Mohd Idris, Unit Komunikasi Korporat, Pejabat Naib Canselor (PNC)

Reports by:
Nor Salwana bt Hj Mohammad Idris