Skip to main content

NC lancar Dasar Ekosistem Mesra OKU UMP (DAMAI)

KUANTAN, 3 Ogos 2021 – Dasar Ekosistem Mesra OKU (DAMAI UMP) yang dilancarkan baru-baru ini merupakan platform bagi Universiti Malaysia Pahang (UMP) berkongsi manfaat teknologi kepakaran dan menghulurkan persaudaraan sejagat dalam membudayakan komuniti ekosistem mesra orang kelainan upaya (OKU).

Ia membuktikan komitmen UMP terhadap pelaksanaan pendidikan inklusif bagi golongan OKU di Institusi Pengajian Tinggi (IPT) selaras dengan slogan UMP iaitu ‘Teknologi untuk Masyarakat’.
 

NC lancar Dasar Ekosistem Mesra OKU UMP (DAMAI)

Menurut Naib Canselor UMP, Profesor Ir. Dr. Wan Azhar Wan Yusoff, DAMAI UMP diperkenalkan dalam pematuhan piawaian Audit Sistem MyU-OKU dengan empat domain iaitu tadbir urus, pengajaran dan pembelajaran, aksesibiliti dan infra serta khidmat sokongan selaras dengan polisi OKU Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).

“Ia turut berhasrat untuk menghubungkan ekosistem OKU melalui teknologi.

“Keperluan kepada pakej komuniti dan ekosistem mesra OKU berteknologi bukan lagi pilihan tetapi adalah keperluan buat masa kini.

“Para aktivis dan teknologis UMP bersedia membantu melalui pelbagai cara daripada aktiviti kesukarelawanan hinggalah kepada kerjasama strategik dan penyelidikan yang berhasrat membantu mengupayakan pemulihan OKU dalam komuniti UMP dan sejagat,” katanya dalam Program Webinar Orang Kurang Upaya (OKU): Talian Hayat OKU Semasa Pandemik COVID-19 secara dalam talian.

Program itu dianjurkan bersama Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Pahang dengan Unit Perkhidmatan OKU Universiti Malaysia Pahang (OkUMP).

Hadir merasmikan DAMAI UMP ialah Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang, Dato’ Sri Hajah Shahaniza Shamsuddin.

Turut sama hadir ialah Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Pahang, Zulkhairi Zainol Abidin.

Dalam pada itu, program webinar pada kali ini bertujuan menguar-uarkan inisiatif kerajaan terhadap golongan OKU yang menampilkan empat panel meliputi pelbagai sudut kebajikan kepada golongan sasaran.

Mereka ialah Ketua Penolong Pengarah, Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Pahang (JKMNP), Suryani Mohamad, Pengarah Unit Perkhidmatan OKU UMP (OkUMP), Dr. Munira Abdul Razak, Ketua Penolong Pengarah Kanan Kesihatan Keluarga, Jabatan Kesihatan Negeri Pahang merangkap Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Negeri Pahang, Dr. Nurly Zahureen Mustapha dan Ketua Cawangan Sistem Insurans Pekerjaan Pejabat PERKESO Negeri Pahang, Abu Qassim Ali.

Menurut Suryani, pihak JKM telah menyediakan pelbagai bantuan sama ada dalam bentuk kewangan atau khidmat nasihat dan kaunseling kepada golongan OKU terutama ketika situasi pandemik COVID-19 melanda.

“Justeru, saya menyeru kepada semua warga OKU negeri Pahang agar dapat menghubungi JKM untuk membuat permohonan bantuan yang disediakan dengan kadar segera,” katanya.

Dr. Nurly Zahureen Mustapha pula berpendapat golongan OKU sememangnya merupakan antara lima kumpulan sasaran untuk menerima vaksin dalam Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK).

“Golongan OKU antara yang berisiko tinggi mendapat jangkitan COVID-19 berbanding populasi normal yang lain kerana masalah kefungsian yang mereka alami.

“Kini, kami sedang menjalankan program bantuan (outreach) dari rumah ke rumah bagi membantu golongan OKU yang terlantar berdasarkan maklumat yang diterima.
 
“Saya ingin menyarankan kepada golongan OKU dan penjaga yang memerlukan suntikan vaksin di rumah boleh mengemas kini maklumat menerusi Helpdesk dalam aplikasi MySejahtera,” katanya.
 
Sementara itu, Abu Qassim pula berkata, pihak PERKESO menyediakan pakej-pakej bantuan untuk golongan yang terjejas dalam tempoh pandemik ini termasuklah golongan OKU.

“Turut disediakan portal MyFutureJobs bagi membantu golongan yang memerlukan perkhidmatan pekerjaan,” katanya.
 
Program ini disertai lebih 800 penonton menerusi aplikasi Google Meet, Facebook CelikOKU dan UMP Malaysia.
Program webinar itu dikendalikan oleh Pensyarah Kanan, Pusat Sains Kemanusiaan, Dr. Noradilah Md Nordin yang bertindak sebagai moderator dan jurubahasa isyarat pula dikendalikan oleh Fariza Deraman dari Persatuan Orang Pekak Pahang.

Disediakan oleh: Nor Salwana Mohd Idris Daripada Unit Komunikasi Korporat Pejabat Naib Canselor 

 

TAGS / KEYWORDS
Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri