Skip to main content

Santuni warga OKU untuk kesejahteraan dan kebahagiaan – Profesor Dr. Ruzita

KUANTAN, 24 Mac 2021- Siapa sangka dilahirkan dalam keadaan sempurna seseorang itu tidak mustahil bergelar orang kelainan upaya (OKU) apabila ditimpa musibah.
Begitulah kisah yang dikongsikan oleh Ketua Unit Kelainan Upaya, Universiti Islam Antarabangsa (UIAM), Profesor Dr. Ruzita Mohd. Amin.
Beliau akur dengan takdir Allah apabila diserang demam sehingga mendapat penyakit polio yang menyebabkannya lumpuh kekal sejak kecil.
Ujarnya, pengalaman sebagai OKU memberikannya semangat dan inspirasi untuk membantu golongan ini yang sering terpinggir dan berdepan halangan sikap, fizikal, komunikasi dan sistem dalam sesebuah organisasi.
“Untuk itu, kita perlu memastikan golongan ini dapat disantuni dengan baik demi kesejahteraan dan kebahagiaan bersama.
“Terdapat beberapa kategori OKU iaitu kurang upaya pendengaran, kurang upaya penglihatan, kurang upaya fizikal, masalah pembelajaran, kurang upaya pertuturan, kurang upaya mental dan juga kurang upaya pelbagai.
“Pelaksanaan Dasar Inklusif OKU yang digariskan Kementerian Pendidikan Malaysia antaranya bertujuan mewujudkan infrastruktur mesra OKU, budaya komuniti prihatin dan pembelajaran dan kehidupan kondusif,” katanya dalam menjayakan Siri Bicara Cendekiawan Mulia Kali Ke-13 anjuran Pusat Sains Kemanusiaan (PSK) di Dewan Bankuet, Canseleri, UMP Kampus Gambang baru-baru ini.
Tambahnya, institusi pengajian tinggi (IPT) perlu menyediakan akses yang bersesuaian bagi menjaga hal ehwal pelajar OKU.
“Selain itu juga IPT perlu memantapkan kualiti hidup pelajar agar mereka tidak terpinggir dan mewujudkan persekitaran kemudahan dan perkhidmatan yang mesra pengguna bagi pelajar OKU.
“Ini termasuklah pembentukan program pembangunan diri pelajar OKU ke arah laluan kerjaya masa hadapan yang lebih terjamin,” ujarnya.
Sebagai tanda sokongan dalam memberi perkhidmatan kepada warga OKU, UMP telah mewujudkan Unit Perkhidmatan OKU UMP (OkUMP) dengan mewujudkan kampus yang yang inklusif dan kondusif.
Menurut Naib Canselor UMP, Profesor Ir. Dr. Wan Azhar Wan Yusoff, pihak universiti juga mempunyai pengalaman apabila menerima pelajar OKU dan pihaknya telah menilai beberapa isu berkaitan keperluan golongan ini.
“Malahan sebanyak RM50,000 telah disediakan untuk dimanfaatkan golongan ini dalam menjalankan aktiviti menerusi Tabung OKU di bawah Yayasan UMP.
“Salah satu agenda kesejahteraan warga kampus dalam Pelan Strategik UMP 2021-2025 yang memfokuskan kesihatan dan keselamatan warga kampus akan turut memberi tumpuan terhadap golongan OKU di universiti ini,” katanya.
Selari dengan slogan (tagline) UMP iaitu ‘Teknologi Untuk Masyarakat’, UMP juga bakal melihat isu golongan OKU dalam kalangan masyarakat setempat.
Malahan dalam memperkasa agenda kesukarelawanan, warga UMP juga dipelawa untuk menjadi ahli dalam persatuan OKU sebagai menyokong usaha ini.
Program dihadiri Ahli Majlis Penasihat Pendidikan Kebangsaan, Mejar Jeneral (B) Dato’ Yusri Anwar.
Turut sama hadir staf dan pelajar OKU UMP.

Disediakan Oleh: Mimi Rabita Abdul Wahit, Unit Komunikasi Korporat,  Pejabat Naib Canselor (PNC)

TAGS / KEYWORDS
Reports by:
Mimi Rabita binti Abd Wahit