Skip to main content

Dr. Nurul Azyyati dan Mohd Safeirul dinobatkan pemenang AAU

KUANTAN, 21 Julai 2022 - Dr. Nurul Azyyati Sabri dan Mohd Safeirul Zaman Abd Majid dinobatkan pemenang Anugerah Akademik Universiti (AAU) 2021 dalam majlis Anugerah Cendekia Bitara 21 Universiti Malaysia Pahang (UMP) yang telah diadakan di Hotel Zenith Kuantan baru-baru ini.
 
Dr. Nurul Azyyati Sabri yang merupakan Pensyarah dan Ketua Program (Diploma Sains Industri) Fakulti Sains dan Teknologi Industri (FSTI) berkata, beliau tidak menyangka terpilih untuk menerima anugerah ini bagi kategori Sains Gunaan.
 
“Saya ingin menzahirkan rasa syukur dan berterima kasih kepada pengurusan universiti yang memilih dan memberi peluang untuk mengecapi anugerah ini.

“Tidak lupa juga kepada semua pelajar yang banyak memberikan kerjasama sepanjang dalam tempoh pengajaran dan pembelajaran. 

“Semoga usaha ini akan mendorong untuk saya lebih proaktif dan kreatif dalam sesi pengajaran,” katanya.
 
Manakala menurut Mohd Safeirul Zaman Abd Majid yang merupakan Guru Bahasa di Pusat Bahasa Moden (PBM) turut berterima kasih kepada keluarga, pelajar dan pengurusan universiti atas pengiktirafan ini.
 
Beliau yang sebelum ini pernah meraih kejayaan Anugerah AAU 2015 berkata, bergelar seorang pendidik perlu sentiasa mempersiapkan diri dengan teknologi baharu dalam pembelajaran dan pengajaran.
 
“Perasaan sentiasa ingin belajar sesuatu telah mendorong saya untuk membiasakan diri dengan platform e-pembelajaran yang dapat membantu menarik minat pelajar. 

“Kita juga tidak perlu rasa malu untuk belajar daripada orang lain yang lebih muda walaupun kita mempunyai kepakaran tersendiri, “ katanya
 
Anugerah Akademik Universiti (AAU) merupakan anugerah yang diselaras oleh Pusat Inovasi dan Daya Saing Akademik, Jabatan Hal Ehwal Akademik dan Antarabangsa (JHEAA). 

Terdapat tiga kategori iaitu Kejuruteraan/Kejuruteraan Teknologi, Sains Gunaan dan Sains Sosial.
 
Anugerah ini telah bermula pada tahun 2009 melalui Anugerah Pensyarah Cemerlang bagi menghargai jasa ahli akademik yang telah menonjolkan kecemerlangan dan kreativiti dalam aspek Pengajaran dan Pembelajaran (PdP).
 
Anugerah disampaikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chini, Pekan, Tuan Mohd Sharim Md Zain yang mewakili Menteri Besar Pahang. 

Hadir sama Pengerusi Lembaga Pengarah UMP, Tan Sri Dato’ Abdul Aziz Abdul Rahman, Naib Canselor UMP, Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrie Zainuddin dan pengurusan tertinggi.
 
Kedua-dua pemenang telah menerima hadiah wang tunai sebanyak RM5,000, sijil penghargaan berserta trofi.
 
Disediakan oleh: Nor Salwana Mohammad. Idris, Bahagian Komunikasi Korporat, Jabatan Canseleri 

Reports by:
Nor Salwana bt Hj Mohammad Idris