Skip to main content

E-GCPM Modular bantu pelajar dalami Project Management Book of Knowlegde (PMBOK®)

Pengurusan projek ialah profesion yang berkembang dengan pesat. 

Pensijilan berterusan dalam pengurusan projek adalah selaras dengan Matlamat Pembangunan Sosial Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (United Nations' Social Development Goals) untuk memastikan akses yang sama kepada pendidikan teknikal, vokasional dan pengajian tinggi dengan kos berpatutan dan berkualiti tinggi bagi pelajar universiti di negara maju dan membangun.

Walau bagaimanapun, disebabkan oleh wabak semasa pandemik Covid-19, pelajar yang ingin meningkatkan kemahiran mereka mendapati sukar untuk mendapatkan pendidikan, pensijilan dan latihan di dalam bidang pengurusan projek. 

Justeru, bagi mengatasi masalah ini, pensyarah kanan dan penyelidik Fakulti Pengurusan Industri (FPI), Universiti Malaysia Pahang (UMP), Dr. Lee Chia Kuang, 36, telah mencipta Electronic Global Certified Project Management Modular (E-GCPM Modular).

Menurut beliau, E-GCPM Modular ialah konsep modular pengajaran pengurusan projek yang menggabungkan teori, simulasi langsung dan latihan modular yang disediakan melalui platform dalam talian.

“Ia bertujuan untuk membantu pelajar mendalami Project Management Book of Knowlegde (PMBOK®) dan lulus dalam peperiksaan pensijilan bertauliah seperti Certified Associate in Project Management (CAPM®). 

“E-GCPM juga telah berjaya digunakan, diuji dan disahkan keberkesanannya dalam pengajaran ke atas 50 orang pelajar ke arah pensijilan CAPM®. 

“Kesemua mereka berjaya menjadi ahli bertauliah Project Management Institute (PMI). 32 daripadanya lulus dalam peperiksaan CAPM® sejak pertengahan Jun 2021,” ujar anak jati kelahiran Alor Setar, Kedah. 

Penyelidikan yang bertajuk ‘Accelerates Human Capital Development with E-GCPM Modular: Quality Project Management Education for All’ itu telah bermula pada pertengahan tahun 2019.

Penyelidikan yang dibangunkan atas inisiatif beliau sendiri itu telah diaplikasikan dalam Program  ‘PMBOK 6th Edition Training 1.0: Towards CAPM Certification’ pada 1 Oktober 2020 di bawah tajaan Geran Kebolehpasaran Graduan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) yang bernilai RM 84,600.

Menurut  Dr. Lee Chia Kuang lagi, idea kajian ini bermula apabila pengajaran dan pembelajaran (PdP) dalam talian menjadi sesuatu keperluan yang penting pada awal tahun 2020. 

“Oleh itu, usaha penginovasian dibuat pada modul-modul dan kaedah pengajaran supaya pelajar dapat memahami dan menguasai pengurusan projek secara berkesan melalui talian. 

“Kajian ini dijalankan secara persendirian dan saya ingin merakamkan penghargaan yang tinggi kepada UMP dan KPT atas peluang yang diberikan untuk menguji keberkesanannya melalui Geran Kebolehpasaran Graduan KPT.  

“Secara ringkasnya, E-GCPM Modular ini berfungsi dalam reka bentuk latihan menerusi tiga fasa utama iaitu Fasa 1 hingga 3.

“Fasa 1, pelajar akan menerima bimbingan dan pengajaran teori tentang kesemua 13 subjek Pengurusan Projek melalui latihan dalam talian. 

“Kesemua topik ini telah diadaptasikan daripada PMBOK® dan dipermudahkan untuk menjadikannya lebih mudah diakses serta difahami oleh para pelajar,” katanya.

Tambahnya lagi untuk Fasa 2 pula pelajar akan dibimbing melalui simulasi, tafsiran dan pengendalian projek secara kuantitatif. 

“Para pelajar akan mempelajari teknik-teknik membuat keputusan secara kuantitatif. 

“Manakala bagi Fasa 3 atau akhir ini, pelajar akan dibimbing melalui 150 soalan latih tubi dengan jawapan contoh berpandu. 

“Tiga hari sebelum peperiksaan CAPM® sebenar, 20 soalan lagi dengan kesukaran yang meningkat akan disimulasikan kepada pelajar. 

“Tahap kesukaran soalan-soalan yang direka dibahagikan kepada tiga tahap kesukaran, iaitu mudah, sederhana dan sukar,” katanya. 

Hasil penyelidikan ini bertujuan untuk membolehkan pengajar mengajar dengan lebih baik,  menyeragamkan pendekatan pengajaran pengurusan projek dengan lebih berkesan dan membantu pelajar ke arah persijilan bertauliah dalam bidang pengurusan projek. 

Inisiatif ini dapat membantu negara membangun seperti Malaysia dalam usaha mengembangkan modal insannya dengan lebih cepat.

Beliau amat mengharapkan agar fungsi dan penggunaan modular ini dapat diperluaskan kepada industri berlandaskan projek bagi memanfaatkan pengamal dan ahli profesional pengurusan projek. 

Jelas beliau lagi, tujuan utama inovasi ini adalah untuk memanfaatkan pelajar universiti manakala kos atau mekanisme inovasi ini masih dalam pelarasan dan belum lagi dikomersialkan secara rasmi. 

Untuk rekod, E-GCPM Modular telah memenangi Gold Award and Outstanding Innovation Award di MTE Sustainable Development Goals (SDG) International Innovations Awards yang diadakan pada 25 hingga 29 Oktober 2021 baru-baru ini. 

Inovasi ini juga adalah kesinambungan daripada inovasi beliau yang lain seperti DEMATEL Digraph dan DEMAEX-SIM

“Ia mampu digunakan secara bersama untuk meningkatkan keberkesanan dan penguasaan pelajar dalam pengurusan projek,” katanya yang mendapat pendidikan ijazah kedoktoran dalam bidang Kejuruteraan Awam dari The University of Auckland, New Zealand.

Disediakan oleh: Safriza Baharuddin dan Nur Hartini Mohd Hatta, Penerbit UMP

Reports by:
Safriza binti Baharuddin