Skip to main content

Penyelidik UMP, UUM dan UiTM kaji pengurusan pekerja asing di Malaysia  

KUANTAN, 13 Julai 2022 - Sekumpulan penyelidik gabungan tiga buah Universiti Awam (UA) iaitu Universiti Malaysia Pahang (UMP), Universiti Utara Malaysia (UUM) dan Universiti Teknologi MARA (UiTM) telah diberi kepercayaan oleh Institut Keselamatan Awam Malaysia (IPSOM) dalam membantu dalam menjalankan kajian Pewujudan Entiti Khusus bagi Pengurusan Kemasukan, Pengeluaran dan Penamatan Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS)  pekerja asing.

Menurut Ketua Penyelidik yang juga merupakan Pensyarah Kanan, Fakulti Pengurusan Industri UMP, Dr. Suhaidah Hussain berkata, kajian ini bertujuan untuk mengkaji sejauh mana penubuhan entiti khusus bagi pengurusan kemasukan, pengeluaran dan penamatan pas lawatan kerja sementara pekerja asing.

Pihaknya juga mengkaji sejauh mana cadangan penubuhan entiti khusus tersebut boleh memperkasakan sistem pengurusan dan pengawalan IPSOM. 

Katanya, kajian yang mengambil masa selama lima bulan  bermula 1 Julai 2022 itu melibatkan beberapa penyelidik lain yang terdiri daripada Dr. Mohd. Hanafiah Ahmad (UMP), Profesor Dr. Abdul Halim Abdul Majid (UUM), Dr. Asmar Abdul Rahim (UUM) dan Dr. Ahmad Afif Ahmarofi (UiTM).

“Peranan penyelidik adalah untuk  mengenal pasti cabaran sedia ada berkaitan proses dokumentasi bagi pengurusan Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) pekerja asing.”

“Selain itu juga turut diadakan kajian kerjasama strategik yang lebih efektif antara agensi yang terlibat dalam pengurusan PLKS pekerja asing. 

“Pada masa yang sama, ia berperanan dalam memberi cadangan kebolehlaksanaan pewujudan satu identiti khusus dalam pengurusan PLKS pekerja asing,” ujarnya.

Tambahnya lagi, hasil kajian ini akan digunakan untuk pembangunan satu kertas polisi mengenai cadangan kewujudan satu entiti khusus dalam pengurusan PLKS pekerja asing di Malaysia.

“Kami ingin merakamkan penghargaan terima kasih kepada Jabatan Imigresen Malaysia dan  IPSOM, Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang memberi peluang dan kepercayaan kepada kumpulan kami untuk melaksanakan kajian ini.

“Dalam masa yang sama, kami turut berharap agar hasil kajian ini dapat membantu negara dalam menambah baik proses pelaksanaan PLKS seterusnya membantu dalam pembangunan polis di bawah KDN,” ujarnya. 

Oleh: Nor Salwana Mohammad Idris, Bahagian Komunikasi Korporat, Jabatan Canseleri

TAGS / KEYWORDS
Reports by:
Nor Salwana bt Hj Mohammad Idris